Harimau Muda gagal ke Piala Asia

Harimau Muda gagal ke Piala Asia


Skuad B-23 negara terpaksa melupakan aksi Piala Asia 2026. FOTO: MALAYSIA NT

SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara terpaksa akur apabila gagal mara ke saingan Piala Asia B-23 selepas tewas 1-2 kepada tuan rumah, Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Thammasat, Pathum Thani pada Selasa.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Nafuzi Zain menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata hasil daripada kemenangan besar 7-0 ke atas Mongolia, manakala dua perlawanan lain berakhir dengan kekalahan.

Thailand muncul juara kumpulan sekali gus layak secara automatik, diikuti Lubnan di tempat kedua, manakala Mongolia berada di kedudukan tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Perlawanan berdepan Thailand turut bermula lewat selepas hujan lebat, menyebabkan padang becak dan dilihat mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Kakana Khamyok, namun skuad negara pantas bangkit menyamakan kedudukan lapan minit kemudian hasil jaringan pertahanan negara, Aysar Hadi.

Bagaimanapun, ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Khamyok sekali lagi menjadi pemusnah apabila melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menghadiahkan kemenangan mutlak buat Thailand.

Dengan keputusan ini, Harimau Muda terpaksa melupakan hajat untuk mengulangi pencapaian edisi sebelum ini.

Sebagai rekod, skuad B-23 negara layak ke Piala Asia pada 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir edisi 2018 di China.



Source link

OR

Scroll to Top