Harimau Muda tekad bangkit lawan Brunei

Harimau Muda tekad bangkit lawan Brunei


Skuad Harimau Muda berdepan misi hidup mati menentang Brunei Jumaat, selepas tewas kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN B-23 pada Selasa. Foto MALAYSIA NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara tekad bangkit bagi memperbaiki semula moral pasukan apabila menentang Brunei dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN B-23 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Jumaat.

Malah, pengendali Harimau Muda B-23, Nafuzi Zain mengakui kekalahan mengejut 0-2 kepada Filipina tempoh hari sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi pemain, namun mereka kini dilihat kembali bersemangat selepas sesi latihan semalam.

“Memang selepas tewas kepada Filipina, pemain agak kecewa dan sedikit frust kerana kita sendiri tidak menjangka kekalahan itu. Tapi itulah adat bola sepak.

“Kami telah adakan sesi perbincangan dan latihan bersama. Dari situ saya lihat moral pemain semakin baik dan mereka sedar akan kesilapan lalu. Mereka juga berjanji mahu bangkit dan tebus semula maruah pasukan,” katanya.

Menurut Nafuzi, walaupun Brunei sebelum ini tewas 0-8 kepada Indonesia dalam aksi pembukaan, namun bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu FC (TFC) itu enggan mengambil mudah cabaran lawan tersebut.

“Apa yang penting ketika ini adalah fokus kepada persediaan pasukan kita sendiri. Kita perlu perbaiki segala kelemahan, terutama dari segi penyudah.

“Bermain di pentas antarabangsa bukan mudah untuk cipta peluang. Jadi, bila peluang datang, kita perlu manfaatkan sebaiknya untuk menjaringkan gol,” jelasnya.

Tambahnya lagi, barisan pertahanan turut perlu kekal fokus dan tidak leka walaupun sesaat kerana sebarang kesilapan kecil boleh dihukum pihak lawan.



Source link

OR

Scroll to Top