Harimau Muda tiada ruang gagal, Mongolia wajib ditundukkan

Harimau Muda tiada ruang gagal, Mongolia wajib ditundukkan


Nafuzi menuntut anak buahnya menyempurnakan setiap peluang terhidang apabila berdepan Mongolia. Foto: Malaysia NT

HARIMAU Muda tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan apabila turun menentang Mongolia pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Thammasat, petang ini.

Selepas tewas 0-1 kepada Lubnan pada aksi pembukaan Rabu lalu, anak buah Nafuzi Zain kini wajib bangkit melakar kemenangan bagi menghidupkan peluang layak ke pusingan akhir.

Nafuzi mengakui untuk layak ke Piala Asia agak tipis, namun menegaskan skuad muda negara masih memiliki peluang sekiranya berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut bermula menentang Mongolia dan kemudiannya tuan rumah, Thailand.

“Mongolia bukan pasukan yang boleh diambil mudah kerana mereka ada fizikal dan kelajuan. Kita perlu beri 100 peratus dalam perlawanan itu.

“Kita memang memerlukan kemenangan dan perlu menjaringkan gol terlebih dahulu. Selepas itu, cuba gandakan jaringan kerana menang dengan keputusan besar adalah kelebihan untuk memperbaiki kedudukan kumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika tewas kepada Lubnan.

“Selepas perlawanan menentang Lubnan, kita menilai keadaan pemain dan ada yang masih penat. Kita melihat keadaan kesemua pemain sebelum menetapkan kesebelasan utama.

“Mungkin akan ada sedikit pertukaran atau kekal dengan kesebelasan utama dan ia berdasarkan kepada tahap kecergasan pemain,” katanya.

Selepas berdepan Mongolia, Harimau Muda akan menutup kempen kelayakan menentang Thailand pada Selasa ini.

Format kelayakan menetapkan hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi pada Januari tahun depan.



Source link

OR

Scroll to Top