Harimau Selatan ‘baham’ Rusa di Paroi

Harimau Selatan ‘baham’ Rusa di Paroi


Heberty antara penyumbang gol buat JDT ketika menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat. Foto Johor Southern Tigers

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkukuhkan cengkaman takhta Liga Super apabila membelasah Negeri Sembilan, 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio yang masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tidak menunggu lama untuk merobek gawang skuad Rusa yang dikawal Tauffiq Rasyid Johari.

Pemain import tengah Harimau Selatan, Heberty Fernandes memastikan pasukan pelawat selesa di depan apabila memimpin separuh masa pertama menerusi gol minit ke-15 dan m-21.

Skuad Rusa kendalian K Nanthakumar tampil dengan semangat Hoben Jang Hoben diketuai kapten Annas Rahmat yang mengikat Kuching City di laman lawan 20 Oktober lalu berusaha bangkit separuh masa kedua bagi menyaingi pendahulu liga tersebut.

Namun Negeri Sembilan yang berada di kedudukan tercorot liga dengan hanya satu kemenangan daripada 12 perlawanan bolos lagi kali ini hasil jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-50.

Pemain import dari Colombia, Jorge Obregon kemudian melengkapkan pesta gol Harimau Selatan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-95.

Tiga mata diraih angkatan Bidoglio membolehkan kuasa bola sepak tanah air tersebut kekal menerajui liga dengan 37 mata hasil 12 kemenangan dan satu seri.

Selangor FC kedua dengan 28 mata diikuti Sabah (23 mata) selepas masing-masing mengharungi 13 perlawanan.

Harimau Selatan selepas ini akan berdepan pendahulu Liga Korea Selatan, Ulsan HD FC kendalian Kim Pan-gon dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Elit di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa ini.



Source link

OR

Scroll to Top