Harimau Selatan tetap hormati Perak FC

Harimau Selatan tetap hormati Perak FC


BIARPUN hanya hanya selangkah mengekalkan takhta Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap menghormati kunjungan Perak FC, di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

Malah, menurut pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio, pihaknya turut menjangkakan saingan sengit daripada skuad The Bos Gaurus itu yang pastinya mahu membawa pulang mata ke Ipoh.

“Mana-mana pasukan yang lawan JDT, kami tetap menghormati mereka termasuk Perak FC dan kami jangkakan ia perlawanan sukar kerana pasukan lawan dibarisi pemain muda yang perlu diawasi tatkala mereka gemar bermain dengan corak serangan balas yang pantas.

“Apapun, kami harus fokus kepada persiapan diri dengan memperbaiki apa jua kelemahan yang ada sebelum turun beraksi dan meskipun kami perlu satu lagi kemenangan untuk muncul juara tapi biarlah aksi 90 minit permainan menjadi penentu.

“Ya, akan ada penggiliran pemain bagi menghadapi Perak FC dan belum pasti lagi siapa akan diturunkan, namun saya akan menyusun kesebelasan terbaik pada perlawanan itu nanti malah aksi bermain di gelanggang sendiri pasti meningkatkan semangat setiap pemain,” katanya.

Untuk rekod, Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya dijadual berlangsung Jumaat ini terpaksa diawalkan malam esok bagi memberi laluan kepada JDT untuk membuat persiapan menentang kelab dari Thailand, Buriram United dalam saingan 16 pasukan terbaik Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena pada 4 Mac.

Untuk rekod, JDT kini gah di puncak Liga Super dengan 55 mata hasil 18 kemenangan dan satu seri daripada 19 perlawanan manakala Perak FC di kedudukan keenam dengan 23 mata hasil enam kemenangan, seri lima kali dan tewas lapan kali daripada 19 perlawanan.

Sementara itu, pengendali kelahiran Argentina itu juga mengesahkan kesemua pemain bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan pada aksi yang dianggap penting itu kecuali Feroz Baharudin dan Shio Hong Wang yang masih dalam proses pemulihan.

Katanya, prestasi cemerlang skuad kendaliannya itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), baru-baru ini juga dilihat bakal meningkatkan lagi motivasi pemain bagi mengekalkan momentum permainan berintensiti tinggi bagi berdepan skuad Kejor Yob Kejor itu yang berkemungkinan beraksi dengan corak bertahan.

“Kesemua pasukan yang datang ke Stadium Sultan Ibrahim akan berusaha untuk menidakkan kemenangan kami namun kami tahu mereka sudah tentu merencana pendekatan taktikal yang mungkin menyukarkan kami.

“Tapi kami akan berusaha untuk menang dengan beraksi lebih dinamik dan membentuk permainan konsisten malah setiap pemain perlu ada watak penting bagi memastikan kelancaran taktikal yang dirancang berkesan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top