Harry, Meghan dilapor kembali menetap di UK

Harry, Meghan dilapor kembali menetap di UK


London: Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, dilaporkan akan kembali menetap di United Kingdom (UK) selepas enam tahun berundur sebagai ahli kanan keluarga diraja.

Menurut laporan akhbar Britain, pasangan itu merancang meninggalkan Amerika Syarikat (AS) sebelum hujung bulan ini untuk menetap di kediaman persendirian bukan diraja yang dipercayai terletak di luar London.

Beberapa media UK termasuk BBC melaporkan dua anak pasangan itu, Putera Archie, 7, dan Puteri Lilibet, 5, sudah didaftarkan di sebuah sekolah Britain bagi memulakan sesi persekolahan baharu pada awal September.

Kediaman baharu pasangan itu juga dilaporkan sudah dipilih, namun bukan daripada mana-mana kediaman diraja.

Press Association (PA) melaporkan Raja Charles III dimaklumkan pada Ahad mengenai rancangan Duke dan Duchess of Sussex itu untuk kembali menetap di UK.

Raja Charles dilaporkan mengalu-alukan peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya atas kapasiti peribadi, namun status Harry dan Meghan tidak akan berubah dan mereka kekal bukan anggota keluarga diraja yang menjalankan tugas rasmi.

Perkembangan mengejutkan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Harry dan Meghan mengunjungi UK bersama anak mereka pada awal Julai lalu, termasuk mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Charles.

Harry dan Meghan menetap di California sejak 2020, manakala kedua-dua anak mereka tidak bertemu datuk mereka sejak 2022.

Harry, 41, dan Meghan, 45, meninggalkan Britain ke Amerika Utara pada 2020, susulan perselisihan dengan keluarga diraja yang semakin buruk selepas Harry menerbitkan memoir menceritakan kehidupannya, Spare.

Harry kemudian menyatakan hasrat untuk berdamai dengan bapanya, yang didiagnosis menghidap kanser dua tahun lalu dan kini menjalani rawatan.

Jenis kanser yang dihidapi baginda tidak pernah didedahkan.

Bagaimanapun, perjalanan ke UK pada Julai lalu turut berdepan beberapa perkembangan kurang menyenangkan apabila media melaporkan Harry akan menginap di Istana Buckingham di London, sebelum pihak istana menafikan perkara itu.

Pihak istana berkata, Harry tidak menerima tawaran untuk menginap di kediaman rasmi pemerintah Britain itu dalam tempoh yang mencukupi.

Harry sebelum ini sering menyalahkan media atas kematian ibunya, Puteri Diana, yang maut dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997 ketika cuba mengelak buruan paparazi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top