Bukan mudah sebenarnya buat pasukan komunikasi dan kreatif untuk tampil dengan idea segar saban tahun, apatah lagi bila penonton sudah meletakkan jangkaan tinggi terhadap video istimewa yang dinanti-nantikan.
Di sebalik hasil yang menyentuh hati itu, pastinya ada usaha keras pasukan komunikasi dan kreatif yang bertungkus-lumus mencari idea terbaik.
Ada yang membuatkan kita tersenyum, ada juga yang diam-diam meresap ke jiwa.
Pesan Abah penuh emosi…
Kali ini, Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak terkecuali apabila tampil dengan filem pendek bertajuk ‘Pesan Abah’’, sebuah naskah yang membawa mesej jelas tentang pentingnya Penulisan Wasiat demi masa depan insan tersayang.
Filem pendek ini mengisahkan sebuah keluarga yang telah kehilangan bapa tersayang dan yang turut didatangi wasi (pentadbir harta) bagi menyampaikan ‘Pesan Abah’ kepada anak-anaknya.

Abah yang dibintangi Datuk Ahmad Tamimi Siregar sempat merakam video wasiat sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir bagi menyampaikan urusan pembahagian harta dimiliki kepada semua anak-anak.

Air mata isteri dan anak-anak tumpah sewaktu menonton video rakaman tersebut kerana ia ditayangkan selepas pemergian ‘Abah’.
Dalam wasiat berkenaan, beliau telah menitipkan pesan kepada anak sulungnya -abang- dilakonkan Luqman Hafidz supaya menjaga adik-adik apabila ketiadaannya kelak.
Abah juga menyatakan beliau sudah melantik penjaga harta buat anak bongsunya yang juga seorang insan istimewa agar tidak menyusahkan anak-anak yang lain dan mengelakkan anak-anak berbalah untuk menentukan siapa yang berhak menjadi penjaga harta.
Babak paling menyentuh hati sudah tentu pesanan Abah buat Adam (lakonan Niezam Zaidi), anak angkat yang sudah dianggap seperti keluarga.

Penulisan wasiat zahir hasrat pewasiat
Pesan Abah mengingatkan penonton tentang pentingnya penulisan wasiat, sekali gus dapat mengelak sebarang pertelagahan berkaitan pusaka.
Berwasiat juga merupakan tindakan mulia untuk menzahirkan hasrat pewasiat tentang pembahagian harta yang dikumpulnya semasa hidup.
Pewarisan harta yang dirancang dengan baik melalui wasiat dapat memastikan harta akan diagihkan kepada orang yang tersayang untuk kebajikan mereka.
Susulan itu, BSN menerusi MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) yang dilantik sebagai Wasi/ Pentadbir untuk melaksanakan hasrat Pelanggan/Pewasiat dengan bayaran yang dipersetujui merupakan salah satu strategi perancangan dan pengurusan harta.
Ia turut menggunakan Konsep Wakalah iaitu menyerahkan tanggungjawab seseorang (muwakkil) kepada seseorang yang lain (wakil) dengan lafaz tertentu agar wakilnya itu dapat menguruskan segala tanggungjawab yang diwakilkan setelah ketiadaan muwakkil.
Antara manfaat Penulisan Wasiat BSN ini adalah membolehkan pelantikan Wasi atau Pentadbir yang dipercayai bagi memudahkan urusan harta pusaka, menzahirkan hasrat pengagihan termasuk untuk kebajikan dan insan tersayang, menjamin masa depan anak-anak di bawah umur serta mengurangkan beban waris yang ditinggalkan.
Jadi, jika ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung penulisan wasiat dan pentadbiran pusaka, disarankan untuk hadir ke mana-mana Cawangan BSN bagi mendapatkan khidmat nasihat yang betul daripada pegawai BSN yang terlatih.
Tonton video penuh di sini:
Untuk mengetahui apalagi pesan-pesan abah sehingga Adam tidak dapat menahan sebak, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah penuh emosi ini -Pesan Abah yang pastinya menguras air mata serta mengingatkan kita tentang kasih sayang dan tanggungjawab serta makna sebuah keluarga.






