Harta kami sudah rentung jadi abu…

Harta kami sudah rentung jadi abu…



surayaroslan@mediaprima.com.my

Subang Jaya: “Kami kini tiada apa-apa lagi harta yang tinggal, semua sudah rentung dan jadi abu,” kata Nabila Mohmad Johar, 36, apabila rumah sewanya rentung akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini, kelmarin.

Turut terkesan ialah bapanya, Mohmad Johar Misri, 66, dan ibunya, Sharifah Mustafa, 59, yang kini dirawat di hospital kerana melecur tahap dua akibat bahang api itu.

Menceritakan semula kejadian, Nabila yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, berkata dia bersama suami, anak, ibu bapa dan empat adik-beradiknya merasai gegaran kuat sehingga menggegarkan rumahnya.

“Saya baru bangun tidur, tingkap rumah bergegar dengan kuat sebelum suami memaklumkan supaya segera membawa dua anak keluar rumah dan selamatkan diri.

“Saya mati-mati ingat kapal terbang terhempas kerana dentuman yang kuat itu menggegarkan tingkap sebelum melihat api menjulang tinggi,” katanya ketika ditemui di Masjid Putra Heights, di sini.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, ibunya membina 13 rumah di atas tanah seluas 0.4 hektar yang ada antaranya dijadikan rumah sewa dan dia menyewa salah sebuah rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana bahang haba dirasai terlampau panas sehingga menyebabkan ibu dan ayah cedera malah kami berlari sehelai sepinggang dengan masih berbaju tidur.

“Bayangkan saya sudah melarikan diri satu kilometer pun, bahang panas masih terasa malah lebih panas daripada cerek elektrik.

“Itu yang menyebabkan ada penduduk terjun sungai yang banyak buaya itu kerana tidak tahan dengan bahang panas,” katanya.

Menurutnya, bapanya kebetulan mengalami sakit perut dan berulang-alik dari tandas menyebabkannya hanya memakai tuala saja dan melecur di bahagian belakang badan.

“Ibu pula ingatkan bukan kebakaran, jadi dia bertindak menutup semua suis elektrik rumah. Kejadian itu menyebabkannya melecur di kaki dan leher akibat bahang api dalam rumah.

“Tidak tahu nak cakap apa, kami sedih kerana rumah yang sudah didiami sejak kecil kini sudah musnah,” katanya.

Nabila yang menyewa di salah sebuah rumah ibunya berkata, tahun ini barangan rumahnya serba baharu selepas dilanda banjir besar pada 2021.

“Saya baru dapat semangat untuk pulih, tidak sangka kini terpaksa melalui pengalaman jauh lebih perit melihat rumah rentung sehingga mencederakan ibu ayah,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga perlu meneruskan hidup seperti biasa dan kini sedang mencari rumah sewa baharu sementara menunggu rumah lama dibaik pulih.

“Kami anggarkan kerugian mungkin mencecah lebih RM1 juta kerana tiada apa yang dapat diselamatkan, bayangkan semua mencair termasuk motosikal dan kereta,” katanya.

Ditanya adakah keluarga akan mengambil sebarang tindakan undang-undang, Nabila berkata, pihaknya mungkin akan mengambil tindakan terhadap syarikat pemaju dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Saya sudah tinggal di kawasan berkenaan sejak kecil, saluran paip gas itu memang sudah lama berada di situ.

“Malah sejak sehari dua ini kami tidak menghidu sebarang bau gas jika dilaporkan kejadian disebabkan kebocoran,” katanya.

Bagaimanapun, Nabila bersyukur kerana kejadian berlaku pada siang hari, jika malam pastinya lebih ramai mangsa yang cedera.

“Kami masih trauma dengan kejadian ini, dengar bunyi letupan mercun pun sudah ketakutan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top