Hasan Karim sifatkan UMNO masih perlukan Ismail Sabri

Hasan Karim sifatkan UMNO masih perlukan Ismail Sabri


KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih memerlukan Datuk Seri Ismail Sabri, kata ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Hassan berkata bekas Perdana Menteri kesembilan itu masih boleh berbakti dalam UMNO kerana pencapaian baik dalam mentadbir negara terutamanya dalam menyelesaikan isu peruntukan kepada wakil pembangkang.

“Di zaman kepimpinan Sabri, suasana politik Malaysia tenteram. Seperti Sabri yang tenang maka begitulah cuaca politik Malaysia ketika itu.

“Dua pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sebulat suara telah berjaya dilakukan oleh Parlimen di bawah teraju Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Veteran PKR itu merujuk kepada pindaan Perkara 1(2) mengenai status wilayah Sabah dan Sarawak dan yang kedua ialah Perkara 49(A) atau lebih dikenali sebagai Akta Anti Lompat Parti.

Tambah beliau, Ismail Sabri jelas lebih tenang dalam menyelesaikan pelaksanaan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen dipilih rakyat tanpa mengira dari kerajaan atau pembangkang.

“Semoga Sabri (nama panggilan Ismail Sabri) terus memimpin. Saya bukan berkempen tetapi saya rasa UMNO dan BN memerlukan pemimpin baik sepertinya.

“Semasa Sabri menjadi perdana menteri, sistem kehakiman berjalan bebas dan penuh berwibawa. Tiada tokoh-tokoh besar politik yang diberi hadiah pelepasan secara DNAA (melepas tanpa membebaskan).

“Di bawah PM ke-9 ini yang dilihat lemah dan longlai bila dia berjalan kita dapat saksikan jika mahkamah memutuskan orang yang dituduh itu bersalah dan dihukum penjara maka keputusan mahkamah itu dilaksanakan walaupun tertuduh itu seorang bekas perdana menteri dan mantan presiden parti yang ada anggota lebih tiga juta orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top