KANGAR: Perlis menikmati hasil dolomite kira-kira RM3.5 juta setahun sekali gus membantu menjana sumber pendapatan buat negeri ini.
Malah, pada tahun ini sehingga Oktober, jumlah hasil dolomite di Perlis mencecah RM2.7 juta.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, anggaran rizab dolomite di negeri ini adalah lebih kurang 653 juta tan metrik dengan peratusan magnesium lebih dari 20 peratus.
“Mana-mana yang kita bagi kuari dolomite ini kena ada produk hiliran dan yang telah beroperasi pun diminta keluarkan produk hiliran dengan membina kilang di Perlis.
“Selain itu, usaha ini juga memerlukan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri. Secara purata, hasil dolomite yang diperolehi kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun adalah kira-kira RM3.5 juta setahun,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Mohd Shukri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan oleh Saad Seman (Chuping-PN) berhubung anggaran hasil dan rizab dolomite yang terdapat di Perlis.
Utusan Malaysia pada Januari lalu melaporkan kerajaan negeri akan memberikan penumpuan bagi meneroka sektor perlombongan dan pengkuarian dolomite yang disifatkan mempunyai potensi besar dalam membawa pulangan kepada Perlis.
Sektor tersebut dianggarkan mampu menjana pulangan bernilai lebih RM19.2 bilion buat negeri ini sekiranya diteroka secara serius.-UTUSAN