am@hmetro.com.my
Kulai: Seorang wanita yang juga pesara swasta kerugian lebih RM175,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan membabitkan jualan emas lelong.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita tempatan berusia 55 tahun, semalam yang mendakwa ditipu sindiket jual emas lelong secara dalam talian.
Beliau berkata, mangsa mendakwa melihat iklan di laman sosial Facebook kelmarin, lalu menekan pautan diberikan dan dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram ‘Pajak Gadai Lelong Emas 916’.
“Mangsa berminat membeli seutas gelang emas dengan harga RM75 dan berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai Nurul Aliya sebelum diminta membayar RM655 bagi urusan harga jualan emas serta bayaran proses penghantaran.
“Pada 6 Oktober lalu sehingga semalam, mangsa membuat 35 transaksi ke beberapa akaun bank tempatan berjumlah RM175,305 atas pelbagai bayaran seperti cukai kastam, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), duti eksais, bayaran EKYPS dan pelbagai bayaran cukai lain,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila masih diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan rantai emas berkenaan.
“Mangsa membuat laporan polis kerana percaya diperdaya oleh sindiket tipu jual emas lelong itu,” katanya dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd