am@hmetro.com.my
Johor Bahru : “Saya kenal dengan Nuraisyah sejak bangku sekolah lagi, kami berhasrat nak bertunang hujung tahun ini tetapi nampaknya tidak kesampaian,” kata Mohd Dzulfitri A Halim, 21, bakal tunang Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, yang maut dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau di sini, malam tadi.
Nuraisyah yang membonceng motosikal adiknya, Ammar Saifullah, 15, maut dalam kemalangan melibatkan motosikal Honda dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.
Mohd Dzulfitri yang bekerja sebagai penyelia kilang berkata, mereka merancang mengikat tali pertunangan selepas mengenali hati budi selama tujuh tahun.
“Saya kenal dengan Nuraisyah sejak bangku sekolah lagi, masa itu saya Tingkatan Tiga dan dia pula di Tingkatan Dua.
“Saya kenal keluarga dia dan dia juga kenal keluarga saya. Saya ada berbincang dengan keluarga untuk masuk meminang dia hujung bulan ini dan kedua-dua keluarga bersetuju tetapi dia pergi dahulu,” katanya.
Mohd Dzulfitri berkata sementara menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Nuraisyah bekerja sebagai operator kilang di Desa Cemerlang di sini.
“Arwah baru sahaja dua minggu bekerja dan kali terakhir kami berjumpa ialah sehari sebelum kejadian.
“Esoknya Nuraisyah menghantar mesej beritahu dia mahu beraya di rumah bapanya di Ulu Tiram.
“Masa itu saya ingatkan dia keluar naik kereta, tak sangka dia naik motosikal dengan adiknya. Saya dapat tahu mereka kemalangan selepas dimaklumkan rakan,” katanya memaklumkan arwah Nuraisyah berhasrat menyambung pelajaran untuk menjadi guru tetapi tidak kesampaian.
Terdahulu, jenazah dua beradik selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau di sini pada jam 1.20 petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd