Hasrat dengan P. Ramlee yang tak kesampaian

Hasrat dengan P. Ramlee yang tak kesampaian


“Saudara ini orang Indonesiakah? Bukan apa, bunyi percakapan kedengaran seperti orang seberang sana.”

Demikian jenaka pengarah, pelakon dan penerbit disegani, Othman Hafsham saat beliau menyambut panggilan telefon saya baru-baru ini.

Tidak hairanlah kenapa anak jati Kuala Lumpur ini dikatakan pengarah drama dan filem komedi hebat. Semula jadi, beliau orangnya humor dan suka berjenaka.

Dan mungkin disebabkan itu juga, filem dan drama terbitan dan arahan beliau, lebih-lebih lagi bergenre komedi, ‘menjadi’, berjaya dan mencipta fenomena.

Sebagai orang tempatan yang mengikuti filem Melayu, kita membesar dengan garapan Othman, menerusi deretan filem humor termasuklah Adik Manja, Mekanik, Driving School, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, 2 + 1 dan sebagainya.

Cita-cita menjadi pembikin filem sebenarnya sudah tertanam dalam diri Othman sejak usia kecilnya lagi. Yang memberi dorongan adalah kedua ibu bapanya yang sejak awal lagi nampak kecenderungan beliau kepada bidang ini.

“Memang (pengarahan filem) menjadi hasrat saya sejak kanak-kanak lagi. Mungkin keinginan itu timbul kerana saya sering menemani ayah saya ke pawagam yang diwujudkan di sekitar Kampar, Perak.

“Apatah lagi saya sewaktu kecil memang terlalu minat kepada wayang gambar dan antara filem yang selalu saya tonton adalah filem-filem Hollywood.

“Jadi, bila ditanya tentang cita-cita, memang sejak kanak-kanak lagi saya tahu, saya mahu jadi pengarah filem. Impian saya itu disokong kedua orang tua saya, lebih-lebih lagi ibu saya yang paling teruja apabila saya diterima untuk melanjutkan pelajaran ke London.

Othman menjadi satu-satunya pelajar Melayu yang menuntut di Guildhall School of Music and Drama ketika kemasukannya sekitar era awal 60-an.

Sepanjang pengajian di bumi yang asing, pengarah yang prolifik ini berpeluang menyelami cara pemikiran dan ideologi orang tempatan, lebih-lebih lagi mengenai filem dan pembikinannya.

“Saya kurang bergaul dengan orang Malaysia di sana ketika itu, lebih banyak bercampur dengan orang tempatan. Cara itu membolehkan saya memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris, selain belajar budaya kerja dunia perfileman di London.

“Pada saya, mereka sangat berdedikasi dan jujur dalam menghasilkan karya filem. Saya belajar perkara itu di sana. Sebab itulah, kebanyakan filem dan drama komedi yang saya arahkan sifatnya realistik,” katanya.


RAHSIA ADIK MANJA

Tahun 1980 menyaksikan buat pertama kalinya, filem arahan dan tulisan sulung Othman Hafsham, Adik Manja, ditayangkan kepada umum.

Beliau tidak pernah menjangkakan filem berkenaan mampu mencipta kejayaan, merekodkan jumlah kutipan memberangsangkan iaitu sekitar RM3.5 juta.

“Filem ini sebenarnya diadaptasi daripada filem Hollywood. Ketika itu Shaw Brothers serah kepada saya beberapa skrip. Tapi saya tertarik dengan skrip Adik Manja.

“Saya tak sangka filem ini menjadi fenomena. Apa yang saya mahu lakukan ketika mengarahkannya adalah bereksperimentasi. Saya mahu uji, berjaya atau tidak filem komedi seperti ini dihasilkan.

“Memang mencabar untuk saya mengarah filem ini kerana teraju utama, Noorkumalasari dan Dharma Harun Al Rashid bukanlah pelakon yang akrab sesama mereka.

“Dharma pelakon yang sangat baharu pada waktu itu. Tapi dia dan Noorkumalasari merupakan pilihan utama bagi filem tersebut,” kongsinya.

Selepas dua filem komedi, Othman bertukar angin pada tahun 1987 dengan mengarahkan filem seram berjudul Rahsia.

Sekali lagi mempertaruhkan Noorkumalasari yang digandingkan dengan Shukery Hashim, filem Rahsia tersasar daripada jangkaan Othman apabila gagal meraih kutipan memberangsangkan di pawagam.

“Pada saya, dengan rekod kutipan sebanyak RM36,000, filem ini gagal di pawagam.

“Ia cukup kontroversi ketika ditayangkan, ada yang mendakwa saya cuba meniru filem dari Barat. Walhal bukan saya yang tulis skripnya.

“Tidak mudah untuk jual filem seram, ditambah pula ketika itu, tidak banyak filem tempatan yang dihasilkan,” kongsinya.

NOORKUMALASARI, EMAN MANAN

Meskipun beberapa kali bekerja dengan pelakon, Noorkumalasari, Othman menolak wujudnya favoritsm atas pilihannya itu.

Beliau menyifatkan Noor pelakon yang komited dan cukup mudah memberi kerjasama.

“Noorkumalasari ini pelakon yang amat pintar dan saya tertarik cara dia membuat interpertasi karakter.

“Lakonannya semula jadi dan dia juga pelakon yang berdisiplin. Tidak pernah datang lambat ke lokasi penggambaran dan hafal semua dialog-dialognya,” kata Othman.

Disoal siapakah pelakon pilihannya jika beliau sekali lagi berpeluang untuk mengarahkan drama atau filem, kata Othman, Eman Manan.

“Kami pernah bekerjasama dalam telefilem Nasi Ayam Duda. Dia membawakan watak komedi pada ketika itu.

“Eman pelakon yang serius, tetapi lakonannya semula jadi. Apa watak sekalipun dia mampu hidupkan.

“Kalau diberi kekuatan untuk sekali lagi duduk di kerusi pengarah, saya pilih untuk arahkan dia,” kongsinya lagi.

P. RAMLEE

Pengarah ini adalah antara insan yang mengenali dan berkawan baik dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Menceritakan pengalamannya, Othman menyifatkan seniman agung sebagai figura yang disenangi dan disayangi ramai.

“Saya berumur 35 tahun ketika mengenali beliau. Kami berkenalan ketika saya berkhidmat di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada ketika itu.

“Kami sering berjumpa, duduk semeja berborak dan minum kopi. Ramai yang tak tahu saya baik dengan Allahyarham.

“Sebagaimana yang anda lihat dalam filem-filem lakonannya, sebegitulah sikap dan perwatakannya. Beliau suka berjenaka dan sangat lucu orangnya.

“Sebab itu kebanyakan dialog humor dalam filem-filemnya kelihatan semula jadi,” katanya.

Kongsi Othman lagi, dia dan P. Ramlee pernah merancang untuk menubuhkan produksi untuk menerbit rancangan televisyen bersama-sama.

“Tapi hasrat itu tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia pada Mei tahun 1973.

“Beberapa bulan sebelum pemergian P. Ramlee, beliau ajak saya untuk siapkan sebuah rancangan TV. Tapi tidak kesampaian,” ceritanya.

DIALOG IKONIK

“Orang putih ke, orang hitam ke, orang coklat ke, orang biru ke, kita orang Malaysiakan?”

Demikian dialog yang diucapkan pelakon, Susan Lankester menerusi filem Mekanik yang turut dilakonkan Azmil Mustapha dan Yusof Haslam.

Dialog itu ditulis Othman sebagai perencah filem yang diterbitkan pada tahun 1983.

Dan sekali lagi, beliau tidak menyangka jangka hayat dialog tersebut yang sampai ke hari ini masih diingati dan menjadi simbolik kepada penyatuan bangsa.

“Dialog itu sudah lama saya peram dalam fikiran saya sebelum mengarah filem itu lagi. Ia mudah diucapkan, tapi maksudnya mendalam.

“Saya bangga kerana dialog itu masih diingati masyarakat.

“Lebih membanggakan lagi, apabila ada seorang kawan memberitahu saya, dia pernah dengar dialog itu berkumandang dalam sebuah pasar raya di Tokyo, Jepun,” kongsinya





Source link

OR

Scroll to Top