May 21, 2024

Hasrat Hafizh catat kemenangan kejuaraan ARRC tak kesampaian


KUALA LUMPUR – Hasrat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencatat kemenangan kedua berturut-turut di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tidak kesampaian selepas Perlumbaan 2 pusingan kedua di Litar Antarabangsa Zhuhai di China yang dijadual berlangsung hari ini terpaksa dibatalkan.

Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Asia dalam satu kenyataan berkata, perlumbaan berkenaan terpaksa dibatalkan ekoran amaran taufan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi tempatan.

“Jabatan Meteorologi meningkatkan isyarat amaran kuning ribut hujan kepada oren pada 10 pagi (hari ini) sambil mengekalkan isyarat amaran kuning ribut petir dan angin ribut yang memerlukan semua aktiviti luar dihentikan.

“Dukacita kami terpaksa mengumumkan pembatalan perlumbaan hari ini, keutamaan diberikan kepada keselamatan pelumba, pasukan dan tenaga kerja ARRC. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.

Semalam, Hafizh muncul juara Perlumbaan 1 kategori ASB1000 sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team dalam saingan ARRC musim ini.

Pusingan ketiga dijadual berlangsung di Motegi, Jepun dari 7 hingga 9 Jun depan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top