ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat pelumba berpengalaman negara, Harrif Saleh untuk kembali mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Sukan Sea terutama dalam acara trek nampaknya tidak kesampaian selepas namanya tidak tersenarai dalam skuad ke temasya di Thailand dari 9 hingga 20 Disember depan.
Jurulatih berbasikal trek endurance negara, Amir Mustafa Rusli mengesahkan bahawa Piala Presiden yang berlangsung Februari lalu dijadikan medan pemilihan rasmi ke Sukan Sea dan malangnya, prestasi ditampilkan Harrif tidak memadai untuk melayakkan diri.
“Syarat kelayakan ditetapkan oleh panel teknikal yang turut membabitkan Pengarah Teknikal Berbasikal Trek, John Beasley. Pemilihan dibuat sepenuhnya berdasarkan prestasi pelumba ketika beraksi dalam Siri Piala Presiden.
“Semua pelumba dimaklumkan lebih awal mengenai kriteria yang ditetapkan dan ia dilaksanakan secara adil kepada semua,” katanya.
Amir menjelaskan, Thailand selaku tuan rumah hanya mempertandingkan dua acara trek endurance acara kejar-mengejar berpasukan dan perlumbaan mata, yang mana bukanlah kepakaran utama pelumba berusia 37 tahun itu.
“Dalam kedua-dua acara itu, pencapaian Harrif jauh lebih rendah berbanding pelumba lain yang kini dalam skuad kebangsaan. Kami perlu berlaku adil kepada pelumba yang menunjukkan prestasi terbaik.
“Memang bagus Harrif masih bersemangat untuk menyumbang kepada negara dan kami hargai keinginan itu, namun tanggungjawab kami adalah memilih mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Antara pelumba yang menggalas cabaran dalam acara trek daya tahan negara ketika ini ialah pelumba muda seperti Lau New Joe dan Hafiq Jafri, selain dua pelumba senior, Abdul Azim Aliyas serta Yusri Shaari yang kini mempamerkan peningkatan memberangsangkan.
Untuk rekod, Azim berjaya meraih pingat perak dalam acara scratch di Piala Trek Antarabangsa di Hong Kong pada April lalu, manakala rakan sepasukan lain mara ke peringkat akhir dalam acara masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd