PERMULAAN cemerlang Michael Carrick sebagai pengurus sementara Manchester United akhirnya menemui jalan buntu apabila rekod kemenangan berturut-turutnya disekat di Stadium London.
Hasrat The Red Devils untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut tidak kesampaian apabila diikat seri oleh West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu.
Sejak kembali ke Old Trafford bulan lalu, Carrick telah memacu pasukan mencatatkan kemenangan bergaya menewaskan gergasi liga seperti Manchester City, Arsenal, Fulham dan Tottenham Hotspur.
Namun, momentum itu gagal diteruskan untuk kemenangan kelima. United malah hampir mencatat kekalahan pertama liga bagi tahun ini sebelum Benjamin Sesko muncul wira menyelamatkan maruah pasukan menerusi gol penyamaan pada minit keenam masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan United kini kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan liga terakhir, satu rekod yang bermula sejak era pemerintahan Ruben Amorim lagi.
Kegagalan meraih tiga mata penuh itu bukan sahaja mengecewakan pasukan, malah membawa khabar kurang gembira buat seorang peminat tular United, Frank Ilett.
Penyokong tegar yang dikenali sebagai The United Strand di media sosial itu sebelum ini bernazar tidak akan memotong rambutnya sehinggalah kelab kesayangannya itu berjaya memenangi lima perlawanan secara berturut-turut.
Memulakan cabaran itu sejak 5 Oktober 2024, Ilett kini sudah menyimpan rambut selama 493 hari.
Ilett pada mulanya berharap penantian itu berakhir pada Rabu, namun dia hanya mampu melihat dengan penuh kekecewaan apabila Tomas Soucek meletakkan tuan rumah di hadapan pada awal babak kedua.
Menerusi siaran langsung di YouTube, Ilett dilihat memegang kepala tanda kecewa. Sorakannya kembali bergema seketika apabila Casemiro menjaringkan gol, namun bertukar hampa apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan jaringan pemain Brazil itu kerana ofsaid.
Walaupun Sesko berjaya menanduk masuk hantaran lintang Bryan Mbeumo untuk mengikat kedudukan, ia tidak cukup untuk merealisasikan impian Ilett ke kedai gunting rambut. Dia kini terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 38 hari lagi untuk menamatkan cabaran tersebut.
Satu mata yang diraih bagaimanapun cukup untuk mengekalkan United dalam kelompok empat teratas liga selepas Chelsea turut gagal memanfaatkan peluang apabila mensia-siakan kelebihan dua gol untuk seri menentang Leeds United.
Ringkasan AI
- Permulaan cemerlang Michael Carrick sebagai pengurus sementara Manchester United terhenti apabila seri dengan West Ham
- Carrick telah memacu Manchester United mencatat kemenangan atas Manchester City, Arsenal, Fulham dan Tottenham Hotspur
- United hampir kalah pertama kali liga tahun ini sebelum Benjamin Sesko menyelamatkan dengan gol penyamaan
- United kini kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan liga terakhir
- Frank Ilett, peminat tegar, gagal melihat United menang lima berturut-turut, terpaksa simpan rambut 493 hari sejak 5 Oktober 2024






