am@metro.com.my
Pontian: Jenazah Imam Masjid Bandar Pontian, Mohd Al Hafiz Mohd Yunus yang lemas selepas jatuh bot ketika memancing bersama rakan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bengkok, di sini, hari ini.
Allahyarham Mohd Al Hafiz, 44, ditemui lemas dalam jarak 100 meter dari Jeti Nelayan Kampung Semaloi Endau, Mersing oleh pasukan penyelamat pada 12 tengah hari tadi.
Isterinya Norazila Othman, 46, berkata, hatinya berdebar dan tidak lena selepas dimaklum suaminya hilang.
Bagaimanapun kakitangan Pejabat Kadi Daerah Pontian itu reda dengan takdir ditetapkan Ilahi.
“Cuma terkilan, penantian anak-anak menunggu kepulangannya untuk membawa keropok lekor buatan Mersing tidak kesampaian.
“Jenazah dibawa terlebih dahulu ke rumah di Taman Nilam selepas solat Asar sebelum disembahyangkan di Masjid Bandar Pontian dan selepas itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bengkok, ” katanya hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mohd Supian Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kehilangan mangsa pada 2.25 pagi tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang digerakkan menemui mangsa kira-kira 10 jam kemudian, sebelum operasi ditamatkan pada 1.46 tengah hari.
© New Straits Times Press (M) Bhd