HATI merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan manusia menurut Islam.
Hati bukan hanya merujuk kepada organ fizikal dalam tubuh, tetapi juga kepada pusat spiritual yang mempengaruhi seluruh kehidupan rohani dan amalan seseorang.
Menurut Islam, hati adalah tempat iman dan kefahaman bertapak termasuklah juga segala perasaan, niat dan kecenderungan seseorang bermula.
Oleh itu, membersihkan hati adalah kunci kepada kehidupan yang diredai ALLAH SWT.
Hati yang bersih mampu menghasilkan tindakan mulia, sedangkan hati yang kotor akan membawa kepada kehidupan yang penuh dengan penyesalan dan penderitaan.
Hati atau qalbu dalam bahasa Arab memiliki makna yang luas, meliputi perasaan, niat dan keinginan seseorang.
Menurut Imam al-Ghazali, hati merupakan pusat bagi segala tindak-tanduk manusia.
Hati yang bersih akan menghasilkan tindakan yang baik, sementara hati yang terhijab oleh sifat-sifat buruk akan menghalang seseorang daripada mencapai kedamaian jiwa dan kebahagiaan sejati.
Sifat hati
Sifat hati dalam Islam terbahagi kepada dua jenis utama iaitu hati yang bersih (qalbun salim) dan hati yang terhijab atau keras.
Hati yang bersih adalah hati yang bebas daripada segala kekotoran dosa dan penyakit rohani seperti hasad dengki, riyak dan angkuh.
Sebaliknya hati yang terhijab akan dipenuhi dengan keraguan, syak wasangka dan ketidakharmonian dengan ajaran Islam.
Fitrah hati
Fitrah hati merujuk kepada keadaan hati yang bersih dan suci pada awal penciptaannya.
Menurut hadis Nabi SAW, setiap bayi yang lahir itu dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih.

HATI yang bersih adalah syarat utama untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Foto Canva
Namun, melalui pengaruh lingkungan dan tindakan individu, hati boleh ternoda dengan sifat-sifat negatif.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks ini, penting bagi umat Islam untuk kembali kepada fitrah mereka dengan memperbaiki hubungan dengan ALLAH dan menghindari pengaruh negatif yang boleh mencemari hati mereka.
Qalbun Salim (Hati yang sihat)
Konsep ‘qalbun salim’ sangat penting dalam Islam kerana hati yang bersih adalah syarat utama untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
ALLAH SWT berfirman: “Pada hari harta dan anak-anak tidak memberi manfaat kecuali siapa yang menghadap ALLAH dengan hati yang bersih.” (Surah asy-Syu’ara: 89)
Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga kebersihan hati untuk mencapai kebaikan yang kekal.
Peranan hati dalam kehidupan
Hati mempunyai peranan yang besar dalam membentuk niat dan perbuatan seseorang.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal darah. Jika ia baik, maka seluruh tubuh akan baik dan jika ia rosak, maka seluruh tubuh akan rosak. Ketahuilah itulah hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ini menunjukkan bahawa kesucian dan kekuatan hati memberi kesan langsung kepada perilaku seseorang.
Mujahadah bersihkan hati
Mujahadah atau usaha keras untuk membersihkan hati adalah suatu amalan yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim termasuklah menghindari sifat-sifat buruk seperti riyak, angkuh dan dendam.
Sebaliknya berusaha untuk memupuk sifat-sifat terpuji seperti sabar, tawaduk dan ikhlas.

MEMBERSIHKAN hati adalah kunci kepada kehidupan yang diredai ALLAH SWT. Foto Canva
Selain itu, amalan zikir, doa dan melakukan ibadah dengan penuh ketulusan hati dapat membantu membersihkan hati.
Realiti semasa
Kehidupan dunia yang serba moden ini, banyak cabaran yang boleh menodai hati seseorang.
Ramai individu yang terdedah kepada godaan yang boleh merosakkan hati, seperti sifat riyak dan ujub dengan kemajuan teknologi dan media sosial.
Oleh itu dalam menghadapi zaman yang penuh dengan dugaan ini, penting untuk setiap Muslim menjaga hati mereka agar tetap bersih dan tidak terjerumus ke dalam kemungkaran.
Menjaga hati adalah salah satu aspek penting dalam mencapai ketenangan jiwa dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Seseorang dapat menghindari kesan negatif daripada sifat-sifat tercela dan memperkukuhkan ikatan spiritual dengan ALLAH dengan menjaga kebersihan hati.
Melalui mujahadah dan keazaman untuk membersihkan hati, setiap Muslim dapat mencapai kedamaian dan kebahagiaan sejati dalam kehidupan.
*PROF MADYA DR AZRI BHARI merupakan Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)