hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Individu yang sedang menjalin percintaan secara maya diminta lebih berhati-hati dengan tanda bahaya (red flag) pasangan mereka supaya tidak menjadi mangsa ‘love scam’ sehingga kerugian bernilai jutaan ringgit.
Peringatan itu diberikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf selepas mengulas mengenai kes terbaru membabitkan seorang peguam yang kerugian lebih RM1.75 juta selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.
Ramli berkata, masyarakat perlu cakna dan mengenali tanda-tanda penipuan seperti permintaan kewangan secara tiba-tiba oleh kenalan maya mereka.
Menurutnya, jangan terlalu percaya kepada sesuatu cerita yang tidak konsisten atau profil yang terlalu hebat dipaparkan kenalan mereka.
“Kita perlu bersikap skeptikal dengan selalu mempersoalkan niat seseorang, terutamanya jika hubungan baharu dan melibatkan permintaan bantuan kewangan atau maklumat peribadi.
“Selain itu, gunakan sumber yang boleh dipercayai untuk memeriksa kesahihan individu melalui enjin carian atau berhubung dengan pihak berkuasa jika meragui kesahihan hubungan dalam talian,” katanya.
Ramli turut mengingatkan, mereka yang menjalinkan hubungan dalam talian perlu berbincang dengan rakan atau keluarga untuk mendapatkan pandangan.
“Langkah berjaga-jaga ini perlu diambil sebelum membuat keputusan yang melibatkan komitmen kewangan atau peribadi,” katanya.
Pada 10 September lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris memaklumkan, laporan diterima daripada mangsa seorang wanita tempatan berusia 58 tahun.
Siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ahli geologi marin sejak Julai lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan meminta bantuan kononnya wang tunai hilang selepas dirompak ketika sampai di Malaysia.
Suspek memberitahu mangsa bahawa dia datang ke Malaysia untuk satu projek pembinaan tangki dasar laut di pesisir laut Terengganu.
Mangsa yang terpedaya dengan suspek bertindak membuat pemindahan wang ke lapan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.75 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd