Hati-hati ‘penyamun’ berlagak pengurus artis

Hati-hati ‘penyamun’ berlagak pengurus artis


DUNIA hiburan kita ini memang tidak pernah sunyi daripada kisah-kisah panas dan drama belakang tabir.

Belum habis satu cerita, timbul pula satu lagi yang mengundang pelbagai tanda tanya.

Kali ini, Cik Bunga hendak sentuh juga mengenai khabar tak manis membabitkan bekas pengurus artis.

Cik Bunga tidak mahu sebut nama sesiapa, tetapi konsepnya di sini, siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya.

Kisah mengenai individu ini sebenarnya sudah lama bertebaran sebelum ini tetapi sekadar cakap-
cakap belakang sahajalah. Pendek kata, mana yang tahu, tahulah.

Tetapi Cik Bunga hairan juga, kalau individu seperti bekas pengurus ini yang pernah terbabit dengan isu penyelewengan, bagaimana dia masih boleh diambil bekerja oleh syarikat lain yang menjalankan operasi bisnes yang lebih kurang
sama?

Soalan Cik Bunga, tak akanlah pihak terbabit tidak meneliti latar belakang individu tersebut sebelum diambil bekerja? Mungkin dia pun pandai memanipulasi jadi orang pun tidak nampak dia ada rekod buruk tersebut.

Namun, industri seni hiburan kita ini kecil. Pusing-pusing pun orang akan tahu cerita. Pelik juga sebab tak akanlah pihak syarikat, yang juga
kenalan-kenalan industri tidak tahu latar belakang dia?

Atau mungkin mereka mengamalkan konsep husnuzon?
Entahlah. Tetapi satu benda Cik Bunga hendak cakap, berhati-hatilah.

Kalau dia boleh lakukan kesalahan yang boleh tahan besar itu di tempat lama, mustahil dia tidak lakukannya di tempat lain. Sejarah hitam biasanya susah hendak dihilangkan sebab telah jadi rekod diri.

Industri hiburan bukan tempat untuk si penyamun bertopengkan gaya profesional. Kalau tahu ada track record menipu, janganlah pula dijulang macam hero. Nanti, industri juga yang parah. Tak begitu? Maka, hati-hatilah.





Source link

OR

Scroll to Top