Kai Havertz. Foto: Agensi
PENYERANG Arsenal, Kai Havertz menepis spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan musim panas nanti, sebaliknya menegaskan masih gembira dan mahu terus beraksi bersama skuad dari London Utara itu.
Havertz menyertai Arsenal pada tahun 2023 selepas berhijrah dari Chelsea.
Sejak itu, pemain kebangsaan Jerman berkenaan memainkan peranan penting dalam jentera serangan The Gunners.
Namun kebelakangan ini, timbul laporan mendakwa Havertz mula kurang selesa di Arsenal susulan pengurangan minit permainan yang diterimanya sepanjang musim 2025/2026.
Dalam masa sama, beberapa kelab gergasi Eropah dikatakan sedang memantau situasi pemain tersebut dan berminat mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan akan datang.
Mengulas mengenai perkara itu, Havertz dalam satu wawancara terkini menolak dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan Arsenal, sambil menyatakan tiada sebab untuk beliau berbuat demikian.
Beliau mengakui masih selesa bersama pasukan dan tidak mempunyai hasrat untuk mencari kelab baharu pada musim panas ini.
“Saya masih berasa selesa bermain di Arsenal dan melihat masa depan saya di kelab ini. Saya juga merasakan rakan sepasukan gembira beraksi bersama saya,” katanya.
Havertz turut mengakui bahawa kekurangan minit permainan musim ini bukan sesuatu yang ideal buat kariernya, namun ia tidak mematahkan semangatnya.
Penyerang itu optimis mampu kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila tahap kecergasannya berada pada tahap terbaik, selain yakin situasinya akan bertambah baik dalam masa terdekat.
“Ya, musim ini bukan mudah buat saya, namun saya tetap melihat masa depan saya di Arsenal,” ujarnya.
Kontrak Havertz bersama Arsenal ketika ini masih berjalan sehingga 2028.
Kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya dilaporkan boleh berbuat demikian dengan nilai sekitar 50 juta euro (RM230 juta) pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Ringkasan AI
- Kai Havertz tidak akan meninggalkan Arsenal pada jendela perpindahan musim panas.
- Havertz menyatakan masih gembira dan selesa bermain untuk Arsenal.
- Kekurangan minit permainan musim ini tidak mempengaruhi semangatnya.
- Beberapa kelab gergasi Eropah menunjukkan minat terhadapnya.
- Kontrak Havertz bersama Arsenal berjalan sehingga 2028.






