June 14, 2024

Hayati intipati al-Quran seru kepada perpaduan – Na’im


KUANTAN – Umat Islam perlu menghayati serta mengaplikasikan intipati al-Quran yang menyeru kepada perpaduan dalam masyarakat.

Menteri Jabatan di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Nai’m Mokhtar berkata, ia tidak sekadar slogan atau retorik yang sentiasa diulang-ulang sebaliknya mesti dibukti serta diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Setiap individu perlu membawa watak penyatu yang menghamparkan permaidani kasih sayang. Usahlah kita membawa karektor pemecah belah yang menabur nista dan memarak api amarah.

”Sebagai masyarakat yang kasih kepada watan, sudah pasti, kita tidak akan tergamak untuk melihat masyarakat saling berantakan dan bermusuhan. Inilah tugas kita semua untuk menyebar nilai-nilai mahmudah yang terkandung di dalam risalah al-Quran.

“Benar, kitab al-Quran, makin ia dibaca, makin bertambah cinta. Makin diwacana, makin banyak ilmu yang ditimba. Hadirnya Al-Quran, membawa suluhan cahaya terang benderang, merungkai segala kekusutan. Al-Quran itu bak berlian,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijri bersamaan 2024 Masihi di Kompleks Penyiaran Pahang malam tadi.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 bersamaan 2024 Masihi, telah berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2024.

Majlis penutup disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada tahun ini, seramai 110 orang peserta daripada 14 buah negeri telah mengambil bahagian. Daripada jumlah tersebut, 29 orang peserta adalah bagi Kategori Tilawah Al-Quran yang terdiri daripada 14 orang qari dan 15 orang qariah termasuk seorang Johan Menunggu.

Manakala 81 orang peserta pula adalah bagi Kategori Hafazan Al-Quran yang terdiri daripada 42 orang peserta hafiz dan 39 orang peserta hafizah.

Johan keseluruhan bagi acara Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini dimenangi oleh Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top