Healy cipta sejarah Ireland

Healy cipta sejarah Ireland


Puy de Sancy, Perancis: Ben Healy mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Ireland pertama sejak Stephen Roche pada 1987 yang mengetuai kedudukan keseluruhan Le Tour de France (TdF) selepas aksi bertenaga menakluki lapan pendakian mencabar di Massif Central, semalam.

Pelumba berusia 24 tahun dari pasukan EF Education-EasyPost itu sebelum ini menjuarai peringkat keenam di Normandy, namun kali ini mengukuhkan statusnya sebagai pencabar utama dengan kayuhan terbaik dalam kariernya untuk merangkul jersi kuning berprestij.

Healy turut menjadi hanya pelumba keempat Ireland dalam sejarah pernah menyarung jersi kuning selepas Shay Elliott (1963), Sean Kelly (1983) dan Stephen Roche yang menjuarai edisi epik sejak 38 tahun lalu.

Aksi luar biasa Healy di Massif Central bahkan mengatasi tumpuan kepada pemenang peringkat, Simon Yates yang sepanjang perlumbaan mengekori rapat roda belakang Healy merentasi laluan berbukit dan kawah gunung berapi purba di wilayah itu.

Kayuhan luar biasa Healy turut melayakkannya menerima gelaran pelumba paling agresif, selepas mengetuai kumpulan pelumba merentasi perkampungan batu gunung berapi kelabu gelap yang akhirnya menyusut daripada 30 kepada hanya lima pelumba.

“Tabik kepada dia, dialah yang menjarakkan semua orang,” kata Yates yang juga juara Giro d’Italia 2025.

Yates menamatkan saingan selaku juara peringkat, diikuti Thymen Arensman (Ineos) di tempat kedua, manakala Healy di tempat ketiga dengan ketinggalan 31 saat, namun tidak pernah mengendurkan kayuhan sepanjang perlumbaan yang amat mencabar.

Dilahirkan di Birmingham, Healy memilih untuk mewakili Ireland sejak di peringkat remaja dan kini turut menyarung jersi putih selaku pelumba muda terbaik.

“Kemenangan peringkat yang saya raih dan jersi kuning hari ini, kedua-duanya sangat bermakna buat saya,” katanya.

Healy terpaksa menunggu penuh debaran di garisan penamat untuk melihat Tadej Pogacar melintasi garisan 4 minit 51 saat lewat, sekali gus kehilangan kedudukan pendahulu sekurang-kurangnya untuk beberapa hari.

“Jersi kuning ini lebih untuk pasukan yang banyak berkorban meletakkan saya di sini, tapi kemenangan peringkat mungkin lebih bernilai kerana ia datang dahulu,” kata Healy.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top