Heitinga tinggalkan Liverpool untuk kembali ke Ajax

Heitinga tinggalkan Liverpool untuk kembali ke Ajax


BEKAS tonggak pertahanan Belanda, John Heitinga, telah meninggalkan peranannya sebagai penolong pengendali Liverpool untuk kembali ke kelab lamanya, Ajax Amsterdam, sebagai ketua jurulatih.

Heitinga, 41, yang pernah membuat lebih 200 penampilan bersama Ajax ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain, sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan simpanan dan jurulatih sementara kelab tersebut.

Kini, beliau kembali ke Amsterdam dengan menandatangani kontrak selama dua tahun dan akan dibantu oleh Marcel Keizer, satu lagi produk akademi Ajax yang berpengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Heitinga menggantikan Francesco Farioli yang meninggalkan kelab itu minggu lalu selepas hanya semusim memimpin.

Musim tersebut berakhir dengan kekecewaan apabila Ajax, yang pernah mendahului liga dengan kelebihan sembilan mata ketika berbaki tujuh perlawanan, akhirnya terpaksa akur menamatkan musim di tempat kedua, satu mata di belakang juara, PSV Eindhoven.

Kegagalan itu menandakan musim ketiga berturut-turut tanpa sebarang trofi buat Ajax, yang merupakan pemegang rekod kejuaraan Eredivisie terbanyak dengan 36 gelaran.

“John ialah seorang jurulatih yang bagus, penuh semangat dan bercita-cita tinggi. Pengalamannya di Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara telah mematangkan beliau.

“Beliau mengenali Ajax dengan mendalam dan kami yakin bersama Marcel, beliau mampu mempertingkatkan prestasi pemain serta meneruskan pembangunan positif sejak musim panas lalu,” kata Pengarah Teknikal Ajax, Alex Kroes.

Heitinga pernah membimbing Ajax dalam 22 perlawanan pada penghujung musim 2022/23 dan memenangi 14 daripadanya, yang membantu kelab itu menamatkan musim di tempat ketiga liga.

Sepanjang musim 2023/24, beliau menyertai West Ham United sebagai jurulatih pasukan utama di bawah kendalian David Moyes, sebelum menyertai pasukan kejurulatihan Arne Slot di Liverpool musim panas lalu.

Sumbangan mereka membuahkan hasil apabila The Reds merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali kedua dalam sejarah mereka.

“Saya amat teruja untuk memulakan tugas ini. Pengalaman di England sangat berharga bagi saya.

“Saya kini bersedia untuk menyambung peranan sebagai ketua jurulatih, dan berasa amat berbesar hati diberi peluang ini oleh Ajax,” kata Heitinga, yang turut pernah beraksi bersama Atletico Madrid, Everton, Fulham dan Hertha Berlin.



Source link

OR

Scroll to Top