norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Heliza Helmi, 39, sangat berterima kasih kepada ibu bapanya, Helmi Mohd Hasbi dan Latifah Muhammad yang menyokong dan mendoakannya menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Menerusi hantaran dibuat Heliza, dia mengakui bukan mudah untuk ibu bapanya merelakannya dan adik, Nur Hazwani Helmi untuk terbabit menyertai misi bantuan yang sukar sebegitu.
“Terima kasih mama, abah sebab menyokong kami, mendoakan kami dan mendidik kami hingga ke tahap ini. Kami tahu bukan mudah mama dan abah nak merelakan dua anak perempuan sekali gus untuk misi macam ini (GSF).
“Tapi, kami yakin sebab mama dan abah antara orang yang sangat yakin dengan kuasa doa. Macam mana Allah jaga kami masa misi di Syria, Gaza dan negara bergolak lain. InsyaAllah mudah-mudahan untuk misi kali ini juga.
“Kami tahu mesti tak tidur lena mama, abah. Sebab kami dah masuk zon merah. Sangat dekat dah dengan Gaza. Banyak barangkali akan berlaku. Tapi InsyaAllah, redha mama abah menjadi payung penyelamat kami.
“Mama abah, terima kasih menjadi ibu ayah yang terbaik buat kami. Halal segalanya. Maafkan segala salah silap kami. Moga Allah ganjarkan syurga tertinggi untuk mama, abah. Hadiah besar Allah nak bagi kat mama, abah,” tulisnya pada hantaran berkenaan.
Dalam hantaran sama itu, Heliza turut memaklumkan dia dan Hazwani juga baharu mendapat khabar berita mengenai bapa mereka yang positif influenza ketika sudah memasuki zon merah.
“Kami baru tahu saat kami dah masuk kawasan zon merah, kami dapat khabar yang abah positif influenza. Hasbunallah wani’mal wakeel.
“Mohon selain mendoakan untuk keselamatan kami, doakan untuk abah kami agar segera sembuh dan diberi kekuatan,” katanya.
Pada ketika ini, kapal dinaiki Heliza dan Hazwani untuk misi bantuan GSF itu sudah ditahan oleh tentera Israel dan mereka sekali gus menjadi tahanan.
Selain Heliza, beberapa lagi selebriti wanita yang juga ditahan tentera Israel ialah Zizi Kirana, Ardell Aryana termasuk aktivis, Farah Lee.
© New Straits Times Press (M) Bhd