Hening Rindu nyanyian Marsha dinobatkan Reka Bentuk Bunyi Terbaik di Taipei

Hening Rindu nyanyian Marsha dinobatkan Reka Bentuk Bunyi Terbaik di Taipei


georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan merangkul Emas dalam kategori Reka Bentuk Bunyi Terbaik yang dicipta di Asia untuk sebuah Program/Siri TV Asia di Anugerah ContentAsia 2025, di Taipei, hari ini.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 40, menyifatkan kemenangan itu hasil kejayaan berpasukan buat semua pihak yang terbabit dalam memastikan mutu hasilnya berada pada tahap tertinggi.

“Sebenarnya saya terdiam masa dapat tahu, menitis air mata sebab saya memang tidak sangka akan menang. Tetapi kemenangan ini sebenarnya ditujukan kepada individu sebenar di sebalik penghasilannya.

“Ini pun anugerah reka bentuk bunyi terbaik. Jadi, sudah tentu saya ingin ucap tahniah dan terima kasih kepada rakaman studio, penerbit serta komposer, Wan Salleh dan juga Ikhwan Fattana.

“Dan semua orang yang terbabit dalam lagu ini kerana ini sebenarnya adalah usaha berpasukan. Tanpa semua orang, saya rasa ia tidak akan menjadi Hening Rindu yang kita dengar sekarang,” katanya.

Marsha turut meluahkan rasa syukur kerana kemenangan itu hadir pada hari sangat istimewa dan mulia. Berita baik itu diterima di hari penuh keberkatan, iaitu bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.

Selain itu, dia menzahirkan harapan agar kemenangan itu dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh pemain industri muzik di Malaysia.

Dia berharap kejayaan berkenaan akan membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk semua penggiat seni tempatan terus maju ke hadapan.

“Muzik kita pun memang sudah berada di satu tahap yang lain. Tetapi saya berharap penggiat seni kita akan lebih bersemangat lagi menghasilkan lebih banyak karya-karya yang hebat,” katanya.

Hening Rindu terbitan Alternate Records and Talents Malaysia menewaskan Bad Guys, Furever Yours, Karuvanam, Lamput Musim 4 – Boss On The Moon, dan juga Shape of Love.

Anugerah ContentAsia adalah sebuah acara tahunan mengiktiraf kandungan video premium dan pencapaian bakat merentasi pelbagai platform di rantau Asia.

Edisi kali ini membabitkan lebih 150 program yang dicalonkan, sekali gus menonjolkan persaingan sengit dalam industri kandungan kreatif serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top