London: Legenda Arsenal, Thierry Henry percaya pasukan itu masih berpeluang menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) musim ini meskipun cabaran mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tampak sudah berakhir.
The Gunners mempamerkan aksi luar biasa apabila membelasah PSV Eindhoven 7-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik, sekali gus hampir pasti mara ke suku akhir untuk bertemu sama ada juara bertahan, Real Madrid atau Atletico Madrid bulan depan.
Jurrien Timber, yang menjaringkan gol pembukaan Arsenal, sebelum ini berkata kemenangan di Belanda adalah peluang untuk Mikel Arteta dan anak buahnya mengubah naratif selepas prestasi hambar dalam saingan domestik.
Henry, yang pernah membantu Arsenal mara ke final Liga Juara-Juara 2006 sebelum tewas kepada Barcelona, percaya kegagalan dalam saingan liga domestik boleh menjadi kelebihan buat pasukan itu untuk memberi tumpuan penuh kepada kejohanan Eropah.
“Iya, mereka boleh (menjuarai UCL). Saya percaya perkara itu, sebab itulah saya katakan sebelum ini,” kata Henry kepada CBS Sports Golazo.
“Sekarang, mereka perlu buktikan keupayaan menewaskan pasukan kuat dengan barisan pemain utama yang kembali.
“Tiada niat meremehkan Eindhoven, saya sangka ia akan menjadi perlawanan sukar terutama di tempat lawan, tetapi mereka menjadikannya tampak mudah. Mereka benar-benar luar biasa.”
Arsenal dijangka berdepan sedikit kesukaran pada suku akhir kerana bakal beraksi di laman sendiri terlebih dahulu, namun Henry percaya kemenangan besar di Belanda akan meningkatkan keyakinan mereka.
“Kita semua tahu liga sudah hampir berakhir, kecuali sesuatu yang luar biasa berlaku. Tetapi apa yang saya cuba katakan, kemenangan ini boleh menjadi pemangkin keyakinan mereka dalam kejohanan ini,” tambah bekas penyerang Perancis itu.
“Jika mahu menjuarai pertandingan ini, anda perlu menewaskan pasukan-pasukan besar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd