Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak menghentikan budaya menggunakan kes rasuah sebagai alat ugutan, tawar-menawar politik atau menutup kelemahan tadbir urus, sebaliknya menumpukan usaha kepada reformasi institusi yang tulen serta berkesan.
Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya memandang serius kekeliruan dan keresahan rakyat apabila isu rasuah semakin dipersembahkan dalam bentuk retorik, persepsi dan propaganda.
Beliau berkata, keadaan itu mewujudkan tanggapan seolah-olah ‘antirasuah’ hanya slogan untuk mengukuhkan kuasa, bukannya reformasi menyeluruh bagi membina negara.
“ABIM menggesa kerajaan agar memastikan agenda antirasuah dipulihkan melalui reformasi institusi yang jelas dan berani termasuk memastikan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mempercepat pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata ABIM turut menggesa kerajaan memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, menggubal undang-undang pembiayaan politik yang telus, dan memantapkan sistem perolehan kerajaan bagi mengelakkan ruang kepada amalan kronisme.
Rakyat tidak akan meyakini usaha memerangi rasuah sekiranya tindakan dilihat tidak konsisten atau bersifat selektif, yang hanya menyasarkan pihak tertentu atau berubah mengikut musim politik.
“Rasuah tidak akan tumbang dengan laungan, tetapi dengan keadilan yang konsisten, reformasi institusi yang tegas dan kesediaan memutuskan budaya kronisme,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






