Pelakon popular Fasha Sandha tampil mempertahankan gandingannya, Firdaus Karim, selepas timbul kecaman netizen yang mempersoalkan rupa paras Firdaus sebagai watak hero dalam drama ‘Doa Yang Terlindung’ yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.
Fasha menegaskan kritikan yang menjurus kepada penampilan fizikal adalah tidak wajar kerana bakat lakonan sepatutnya jadi ukuran utama.
Pada masa sama, ibu kepada tiga cahaya mata ini percaya Firdaus wajar diberikan ruang untuk membuktikan kemampuan, apatah lagi drama berkenaan masih di peringkat awal tayangan.
“Pada saya, tak adil bila orang terus pertikai pemilihannya sebagai hero. Saya yakin dia ada bakat dan akan terserlah bila penonton ikut perkembangan episod seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fasha memaklumkan dia sendiri tidak pernah memilih siapa hero gandingannya kerana keputusan itu biasanya ditentukan stesen TV dan pihak produksi.
“Bab pemilihan hero, saya serahkan pada stesen dan penerbit. Pelakon datang untuk bekerja dan menyampaikan cerita, bukan menentukan siapa yang dipilih,” tegas isteri kepada aktor Aidil Aziz ini.
Fasha turut berkongsi, setiap kali menerima tawaran lakonan, fokus utamanya ialah kekuatan naskhah serta pasukan produksi, termasuk penulis skrip dan pengarah.
“Bila dapat naskhah, saya biasanya nak tahu dua perkara dulu, siapa yang tulis skrip dan siapa yang mengarah. Itu yang buat saya yakin dengan sesebuah projek.
“Saya berharap penonton menilai drama tersebut secara menyeluruh dan menikmati mesej yang dibawa, termasuk elemen pengajaran dalam jalan ceritanya,” katanya lagi.

Fasha ditemui di acara pelancaran produk Dunia Herbs, losyen Mustajab Mini Sauna dengan pilihan wangian baharu.
Majlis itu turut melantik Fasha sebagai duta rasmi. Pengarah Dunia Herbs, Wan Noramira Wan Rosdi berkata pemilihan Fasha dibuat kerana imej positif dan konsisten yang selari dengan identiti jenama.
“Saya yakin kehadiran Fasha dapat membantu memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna, termasuk golongan muda yang mencari losyen untuk kelegaan lenguh badan atau senggugut, selain mahukan kesegaran,” katanya.
Fasha berkata dia menerima tawaran itu kerana sudah lama menggunakan Mustajab, malah mencadangkan versi wangian untuk tarik minat Gen Z. Losyen ini hadir dalam empat pilihan iaitu Quince & Tulip, Golden Oud, Blooming Peach dan Amouge.






