am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Persoalan sejauh mana seseorang sanggup mengorbankan maruah demi meneruskan kehidupan menjadi tunjang utama siri Tonton Originals terbaharu, Neraka Yang Terhijab yang mula menemui penonton hari ini.
Siri 20 episod arahan Azri Izhar dan nukilan Liza Nur ini membariskan pelakon meningkat naik seperti Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah.
Mengangkat kisah penuh emosi mengenai tekanan hidup, kemiskinan, serta pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.
Menerusi naskhah berat ini, Ezzanie membawakan watak Adda, seorang pelajar universiti yang berdepan jalan buntu selepas wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri, Malik.
Keadaan keluarga yang semakin terdesak memaksanya bekerja keras demi menampung kehidupan dan menjaga ibunya yang uzur.
Namun, semakin kuat Adda berusaha mencari jalan keluar, semakin jauh dia terjerumus ke dalam dunia gelap yang tidak pernah dibayangkannya.
Segalanya berubah apabila dia diperkenalkan kepada “The Floor”, sebuah dunia eksklusif yang dipenuhi kemewahan, pesta, dan golongan berpengaruh.
Walaupun pada awalnya menolak, tarikan wang ringgit dan tekanan hidup akhirnya memaksa Adda memilih jalan hitam dengan menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman kelas atasan.
Bukan itu sahaja, plot penceritaan semakin rancak apabila Adda terperangkap dalam konflik dua beradik tiri iaitu Annas dan Zakwan.
Ketika Zakwan mempunyai agenda tersendiri terhadap dirinya, Annas pula mula melihat Adda sebagai seorang wanita yang lebih daripada sekadar individu yang dipergunakan.
Sementara itu, Ezzanie mengakui watak Adda adalah antara karakter paling mencabar yang pernah dibawakan sepanjang kerjayanya kerana ia sarat dengan emosi dan penderitaan yang dekat dengan realiti kehidupan segelintir masyarakat hari ini.
“Adda mewakili ramai orang yang hidup dalam keadaan terdesak sampai terpaksa buat pilihan yang mereka sendiri tak pernah bayangkan.
“Dia bukan perempuan jahat, dia cuma terlalu penat berjuang seorang diri. Itu yang buat watak ini sangat menyakitkan untuk dimainkan,” katanya.
Mengangkat sisi gelap kehidupan yang jarang diperkatakan secara terbuka, Neraka Yang Terhijab disiarkan setiap Khamis hingga Ahad secara eksklusif di platform penstriman Tonton bermula 4 Jun 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd





