BEREGU lelaki negara berpotensi menyinar di pentas antarabangsa untuk bergelar jagoan dunia dalam tempoh dua tahun.
Keyakinan tersebut diluahkan jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi yang bakal memulakan tugas secara rasmi di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu.
Jurulatih dari Indonesia itu bagaimanapun sudah meninjau latihan para pemain pada Jumaat sambil ditemani Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Manaiky.
Malah, jurulatih berusia 63 tahun yang diberi julukan Herry Ip itu mengakui tertarik hati untuk berada di negara ini kerana Malaysia mempunyai pemain yang bagus.
“Pada pandangan saya pemain Malaysia cukup baik. Kalau boleh dibandingkan dengan negara-negara lain, kita masih boleh bersaing.
“Saya optimis pemain Malaysia boleh lebih baik dan berharap beregu lelaki mampu menguasai dunia kerana mereka memenuhi syarat untuk berada di tempat teratas dunia,” katanya kepada media di Bukit Kiara pada Jumaat.
Herry sudah membuktikan magisnya sebelum ini bersama skuad Indonesia apabila berjaya melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008) serta menghasilkan deretan pasangan bertaraf dunia.
Beliau juga bertanggungjawab membentuk gandingan Hendra bersama Mohammad Ahsan yang menyaksikan mereka memenangi beberapa gelaran dunia dan Seluruh England.
Beregu lelaki negara ketika ini dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.
Herry yang juga terkenal dengan gelaran Naga Api bagaimanapun mendedahkan bukan mudah untuk bergelar juara dunia kerana ia memerlukan pengorbanan yang besar semua pihak.
Pada masa sama, beliau juga perlu menilai standard setiap pemain selain memahami karakter mereka dengan lebih dekat.
“Kalau seperti Aaron-Wooi Yik, mungkin tidak terlalu lama, lebih kurang satu tahun. Begitu juga dengan Man-Tee (Nab Wi Chong dan Tee Kai Wun). Kalau pemain muda dalam lingkungan dua tahun.
“Apa yang pasti harus kerja keras. Disiplin, konsisten dan konsisten juga wajar dipertingkatkan.
“Mereka perlu mempunyai motivasi tinggi, namun setiap pemain ada turun dan naik.
“Ketika turun (motivasi) itu yang penting, kita harus jaga dia (pemain). Motivasi itu harus nombor satu.
“Secara keseluruhannya perlu berdisiplin, motivasi, komitmen dan perjuangan. Itu semua perlu ada. Ibarat ‘kepala jadi kaki dan kaki jadi kepala’,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan belum berbincang secara terperinci dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai sasaran dan program latihan.
“Apa yang pasti boleh bekerjasama dengan BAM, sudah jumpa beberapa kali, tetapi secara terperinci kita masih belum bincang lagi.
“Ini hari pertama (Jumaat) saya datang. Mungkin Isnin saya akan berbicara dengan para pemain,” katanya.
Sebagai rekod, pasangan lain yang menonjol di bawah bimbingan Herry seperti Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang turut meraih gelaran Seluruh England dan menjadi pasangan beregu lelaki nombor satu dunia.