Hidup golongan M40 bagaikan bernafas dalam air, mahu pembelaan seperti B40

Hidup golongan M40 bagaikan bernafas dalam air, mahu pembelaan seperti B40


SHAH ALAM – Saban tahun rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) sentiasa menantikan ‘berita baik’ yang bakal diumumkan kerajaan setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan pada akhir tahun bagi meringankan beban kos sara hidup.

Bagaimanapun di sebalik berita baik itu, masih terdapat kelompok masyarakat yang dilihat masih terpinggir daripada sebarang inisiatif, lebih-lebih lagi warga kota yang tergolong dalam berpendapatan sederhana (M40).

Mereka menyuarakan rasa kurang senang belanjawan sebelum ini yang banyak dinikmati golongan B40 termasuk pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Skim Perubatan Madani (SPM) dan Program Rebat Elektrik.

Mohd Radzi Razali

Seorang peniaga, Mohd Radzi Razali, 37, menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian inisiatif kepada golongan M40, sekurangnya-kurangnya STR bagi membantu mengurangkan impak kos sara hidup khususnya mereka yang mempunyai keluarga besar.

“Golongan M40 ini berada di tengah-tengah jurang pendapatan. Kerajaan boleh memberi pengecualian cukai atau beri subsidi bersasar untuk barang tertentu sekali gus membantu mereka mengurangkan kos hidup.

“Bajet setiap tahun dibentangkan hampir tiada inisiatif langsung kepada M40. Kita berharap kerajaan boleh memberikan STR seperti mana dinikmati B40 ketika ini, mungkin jumlah bantuan tunai itu berbeza.

“Ini kerana M40 yang berada di bandar dan di luar bandar itu berbeza, dengan gaji RM6,000, warga kota agak sukar meneruskan kehidupan hingga ke akhir bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Izazul Firdaus Mohd Arif

Menurut seorang pengetua di sebuah maahad tahfiz swasta di Sungai Buloh, Izazul Firdaus Mohd Arif, 34, kerajaan digesa meneruskan pemberian geran perniagaan, geran sara hidup dan geran pendidikan yang pernah diberikan ketika pentadbiran sebelum ini.

“Ia dapat membantu para peniaga untuk pusingan modal, pusingan perniagaan dan menampung kerugian yang dialami peniaga kecil.

“Pemberian geran pendidikan kepada sekolah perlu diperkenalkan semula untuk meningkatkan produktiviti pengurusan pendidikan.

“Institusi pendidikan swasta seperti kami memerlukan bantuan pengurusan pendidikan agar sekurang-kurangnya RM10,000 setahun seperti mana sebelum ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan digesa mempertimbangkan untuk menaikkan Geran Rukun Tetangga di 8,438 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh negara bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam kawasan bandar.

“Ketika ini KRT menerima sehingga RM6,000 setahun dan kalau boleh jumlah itu dinaikkan sehingga RM10,000 bagi menampung kos rondaan keselamatan khususnya pada waktu malam yang berisiko tinggi,” katanya.

Ahmad Shah Taib

Sementara itu, bagi Ahmad Shah Taib, 43, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk dikaji semula syarat kelayakan anak-anak daripada keluarga M40 dengan memberi diberi pengecualian untuk memasuki asrama penuh dan inisiatif pendidikan lain seperti RMT.

“Golongan ini tersepit, mereka tidak duduk dalam T20, tidak di bawah B40, bagi mereka yang berkeluarga besar, untuk anak lebih seorang, pendapatan M40 ini tidak cukup. Pendidikan ini asas dan aset kepada masa depan,” katanya.

Seorang bekas pegawai bank, Rauk Abdullah Sawi, 70, bercakap kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Seksyen 3, Shah Alam, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN, 15 OKTOBER 2024

Manakala bagi seorang bekas pegawai bank, Rauk Abdullah Sawi, 70, golongan M40 juga perlu mendapat pembelaan, lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam kawasan bandar yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi

“Saya kesian, ada golongan M40 ini tiada pendapatan tambahan, dibebani pula dengan bayaran ansuran kereta, sewa rumah dan kos pusat asuhan kanak-kanak. Ini tak masuk lagi minyak (petrol) lagi.

“Timbang rasa la sikit kerajaan, berilah M40 ini bernafas, sekarang ini bukan lagi dalam lumpur, tapi mereka bagai bernafas dalam air. Kebanyakan anak Melayu Islam dan penjawat awam, ramai mengeluh, apatah lagi pencen sudah tiada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top