KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman kini giat meneruskan kerjaya dalam bidang bimbingan eksekutif, perundingan strategik serta pengucapan awam selepas tidak lagi memegang jawatan tersebut.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah membantu pemimpin korporat memperkukuh kepimpinan melalui program bimbingan profesional.
“Saya kini menjalankan bimbingan eksekutif, iaitu melatih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk menjadi pemimpin yang lebih cemerlang,” katanya menerusi satu hantaran video di media sosial.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi perkembangan kerjaya semasanya susulan pertanyaan ramai mengenai hala tujunya selepas meninggalkan RTM.
Mengulas lanjut, Suhaimi memaklumkan bahawa beliau kini sedang membimbing dua orang Pengurus Besar Kanan daripada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
“Pada masa ini, saya membimbing dua Pengurus Besar Kanan daripada entiti tersenarai di Bursa.
“Saya juga banyak melakukan kerja perundingan dalam komunikasi strategik, komunikasi krisis, pengurusan media, pengurusan perubahan dan penjenamaan,” katanya.
Selain itu, Suhaimi berkata, beliau juga terlibat dalam pelbagai sesi ceramah, khususnya selepas bulan Ramadan yang dijangka menyaksikan peningkatan undangan.
Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata beliau turut meluangkan masa menguruskan perniagaan miliknya di Melaka.
“Jika ada masa, saya akan ke Melaka dan meluangkan masa di kafe saya, Sambal & Style. Saya juga mempunyai sebuah asrama pengembara di sana,” katanya.
Tambahnya lagi, di sebalik kesibukan tersebut, beliau kini sedang menyiapkan penulisan buku kedua.
“Saya juga sedang mengusahakan buku kedua saya.
“Hidup ini perlu diisi sebaiknya, kalau tidak, jadi tua,”katanya.





