'Hilang' ibu, ayah di pergunungan

'Hilang' ibu, ayah di pergunungan


Bishkek, Kyrgyzstan: Dron mengesahkan “tiada tanda kehidupan” pendaki Rusia, Natalia Nagovitsina, 47, yang terkandas di Puncak Victory, Kyrgyzstan, lapor Mirror.

Wanita itu terperangkap dengan kaki patah pada ketinggian lebih 22,000 kaki (kira-kira 6,705 meter) sejak 12 Ogos lalu.

Insiden ini berlaku beberapa tahun selepas dia enggan meninggalkan suaminya, Sergei, yang meninggal dunia akibat strok ketika mendaki sebuah gunung lain di Kyrgyzstan pada 2021.

Berita tragis itu disahkan selepas dron diterbangkan atas permintaan anak lelakinya, Mikhail Nagovitsin, 27, yang merayu bantuan daripada kerajaan Rusia untuk menyelamatkan ibunya.

“Ibu saya seorang pendaki yang berpengalaman dan berada dalam keadaan sangat cergas,” kata Mikhail yang cemas apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini dihentikan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Keselamatan Negara Kyrgyzstan dalam satu kenyataan berkata: “Selepas analisis data, tiada tanda kehidupan dikesan di tapak di mana pendaki Nagovitsina berada.”

Pelbagai usaha menyelamat terjejas teruk akibat cuaca buruk selain dikritik hebat kerana respons yang lambat dan gagal di lokasi terpencil itu.

Dalam satu cubaan membantu, seorang pendaki Itali, Luca Sinigaglia, 49, maut akibat radang dingin (frostbite) selepas berjaya menghantar khemah, makanan dan bekalan lain kepada Natalia.

Percubaan terakhir untuk sampai kepadanya pada Jumaat lalu turut dibatalkan selepas ketua pasukan penyelamat mengalami kecederaan belakang.

Natalia terperangkap di “zon maut” di mana suhu menjunam sehingga -30 darjah Celsius, menyebabkan harapan untuknya terus hidup dianggap mustahil.

Pegawai memaklumkan mayatnya hanya akan dibawa turun pada musim bunga akan datang selepas operasi menyelamat diisytiharkan tamat.

Jika disahkan meninggal dunia, anak lelaki Natalia kini kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam dua tragedi berasingan di pergunungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top