Himpunan bagi mendesak penguatkuasaan undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan bantahan terhadap pembinaan rumah ibadat secara haram, tidak seharusnya ditakuti atau dihalang oleh mana-mana pihak.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perhimpunan sedemikian berbeza sama sekali dengan himpunan yang menuntut hak-hak yang jelas bercanggah dan dilarang di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Foto arkib: Facebook Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli menjelaskan, himpunan sebegitu tidak boleh disamakan dengan perhimpunan yang menuntut hak-hak tertentu yang dilarang oleh Perlembagaan, contohnya perhimpunan pro-LGBT (lesbian, gay, bisesksual dan transgender).
“Himpunan untuk menjunjung penguatkuasaan undang-undang sedia ada sewajarnya tidak perlu ditakuti dan dihalang. Tidak perlu mana-mana pihak rasa takut.
“Ia berbeza dengan himpunan menuntut hak yang dilarang di dalam Perlembagaan. Contohnya himpunan pro-LGBT,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Hantaran tersebut dibuat susulan terdapat segelintir pihak membantah Himpunan Anti Rumah Anutan Haram yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Sebelum ini, media melaporkan sekutu parti PAS iaitu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memohon pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menghalang himpunan tersebut.
Himpunan aman digerakkan pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang melibatkan kira-kira 141 badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan bagi membuka mata pihak berkuasa, kerajaan dan rakyat berhubung isu binaan rumah anutan haram yang dilaporkan semakin berleluasa di Malaysia.
Foto arkib: FMT






