am@hmetro.com.my
Seremban: Tidak berpuas hati isterinya diberikan notis saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas.
Kejadian berlaku ketika sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 20, Lebuhraya Seremban– Port Dickson (SPDH) menghala ke Seremban, di sini, jam 4.37 petang semalam.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya memandang serius insiden itu memandangkan ia berlaku ketika anggotanya menjalankan tugas rasmi jabatan.
“Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berwarna hitam dipandu seorang wanita ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
“Ketika semakan dijalankan, kenderaan terbabit diberikan Notis Arah Periksa mengikut Seksyen 61(1) kerana nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, ketika notis saman diserahkan kepada pemandu, suami wanita berkenaan yang berada di tempat duduk penumpang bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta menghina anggota JPJ yang bertugas.
“Individu berkenaan kemudian beredar dari lokasi. JPJ Negeri Sembilan menegaskan tingkah laku agresif, provokasi, ancaman atau penghinaan terhadap anggota penguat kuasa tidak akan dikompromi.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh mengganggu kelancaran operasi serta menjejaskan keselamatan pegawai bertugas,” katanya.
Menurutnya, anggota terbabit membuat satu laporan polis bagi tujuan keselamatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perbuatan yang menghalang, mengugut atau menghina penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






