Tanda-tanda akhir zaman semakin dapat dirasai apabila senario fitnah memfitnah sesama manusia tidak lagi dihiraukan. Maka benarlah sabda Nabi SAW berhubung tanda kiamat yang bermaksud: “Antara tanda-tanda akhir zaman ialah, masa semakin pendek, para ulama (yang berani bercakap benar) semakin sedikit kuantitinya, fitnah berleluasa, orang kedekut semakin ramai dan kes-kes pembunuhan bertambah.”
Jika diperhatikan hadis di atas, didapati semua tanda-tanda itu sudah berlaku dengan banyaknya di seluruh negara dan fokus kita di sini adalah gejala fitnah. Lebih membimbangkan lagi apabila didapati ada pelbagai teknik penyebaran fitnah dilakukan segolongan manusia tidak bertanggungjawab. Anak-anak muda sebarkan fitnah menerusi laman sosial dan sebagainya. Bagi golongan dewasa pula, penyebaran fitnah dilakukan dengan melepak di kedai-kedai kopi, kafeteria, pejabat dan sebagainya.
Begitulah keadaannya bagi politik, mereka sebarkan fitnah menerusi ceramah, blog, media massa seperti media elektronik dan media cetak. Usaha itu bertujuan menjatuhkan lawan dengan cara tidak profesional. Lebih buruk lagi apabila golongan di atas beranggapan budaya buka aib atau fitnah boleh bantu mereka dalam menyelesaikan banyak isu.
Perlu diingatkan di sini, semua teknik fitnah itu perbuatan yang jauh tersasar dari kehendak syariat Islam. Oleh itu Nabi SAW mengingatkan kita betapa bahayanya fitnah dengan sabdanya yang bermaksud:
“Fitnah di akhir zaman sehingga menyebabkan orang yang duduk lebih mulia berbanding orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang sedang berjalan dan orang yang berjalan itu lebih mulia daripada orang yang melungsur laju, sesungguhnya (di akhir zaman manusia beranggapan) sesiapa dalam kalangan kamu yang mengagungkan fitnah dimuliakan kata-katanya…” (Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan fitnah mampu mengubah gambaran sebenar realiti kehidupan. Perkara baik boleh berubah menjadi buruk dan hina apabila fitnah memainkan peranan.
Hukum fitnah
Membuat fitnah atau menyebarkan fitnah haram di sisi Islam dalam semua keadaan sekalipun. Sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan itu berdosa dan wajib memohon maaf sama ada secara bersemuka atau terbuka. Jika tidak, mereka akan dihisab Allah SWT di akhirat kelak dan tidak mustahil golongan ini tergolong dalam golongan yang muflis di akhirat kelak.
Bahaya fitnah
Tidak dinafikan setiap perkara diharamkansyarak ada kebaikan tersendiri untuk umat Islam. Begitu juga dengan pengharaman fitnah. Ia diharamkan kerana kesannya yang sangat negatif terhadap mangsa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud:
“Dan fitnah itu adalah lebih bahaya kesannya daripada pembunuhan…”
Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa fitnah lebih berbahaya berbanding perbuatan membunuh. Ini kerana kesan buruk daripada fitnah memberi impak negatif kepada mangsa, keluarga dan semua di kelilingnya. Maruah mereka akan tercemar hasil perbuatan fitnah. Semestinya perkara ini tidak akan berlaku dalam jenayah bunuh.
Punca-punca fitnah
1. Keterlaluan mencintai dunia sehingga menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendak nafsunya.
2. Hasad dengki terhadap kenikmatan yang dimiliki oleh orang lain.
3. Tidak yakin terhadap qada dan qadar Allah SWT.
4. Tidak bersyukur dengan nikmat yang sedia ada.
5. Tamak terhadap nikmat dunia tanpa memikirkan hak orang lain.
6. Terasa dirinya terlalu sempurna berbanding orang lain.
7. Tidak boleh lihat orang lain lebih daripadanya.
Jauhi budaya fitnah
Islam menyuruh umat Islam supaya menghindari segala jenis budaya fitnah yang banyak mendatangkan kemudaratan ke atas semua pihak. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah.” (Bukhari dan Muslim) Berlandaskan kepada hadis ini, para ulama seperti Imam al-Ghazali bertungkus-lumus menetapkan beberapa penawar menyelamatkan kita daripada terus terjebak dengan budaya fitnah. Penawar dimaksudkan seperti berikut:
1. Sentiasa didik diri agar bertakwa kepada Allah SWT. Ia adalah menawar yang paling mujarab bagi seseorang Muslim untuk menghindari tabiat atau budaya fitnah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 2 yang bermaksud: “Sesiapa yang takut kepada Allah sesungguhnya Allah akan buka lagi pintu rezeki kepadanya…”
2. Jauhi sifat riyak, takbur dan bongkak. Kesemua sifat-sifat ini adalah punca utama seseorang itu menabur fitnah. Jika semua sifat tersebut dapat dibendung, maka hati kita akan suci daripada buruk sangka dan sekali gus mendorong kita untuk sentiasa baik sangka kepada Allah dan manusia.
3. Sabar dengan ujian Allah dan tanamkan dalam diri bahawa segala nikmat yang dimiliki oleh makhluk adalah pinjaman daripada Allah SWT yang bersifat sementara. Pada bila-bila masa sahaja Allah SWT boleh menariknya kembali.Ada kalanya nikmat-nikmat yang ditarik itu bertujuan untuk menguji umat-Nya sama mereka bersabar atau sebaliknya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami akan menduga kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa dan tumbuh-tumbuhan dan hanya orang-orang sabar yang bakal mendapat kejayaan.”
4. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dimilikinya.
5. Jauhi diri daripada sifat tamak terhadap nikmat dunia khususnya hak orang lain. Ini kerana mereka yang terlalu tamak akan terdorong untuk menjatuhkan orang lain yang setaraf dengannya. Antara cara untuk menjatuhkan rakan sejawatnya itu adalah menerusi penyebaran fitnah.
6. Jangan merasakan diri kita yang terbaik, manakala orang lain semuanya tidak betul.
7. Belajarlah untuk menerima pandangan dan nasihat orang lain kerana ia mendidik kita supaya tidak angkuh. Apabila seseorang itu jauh dari sifat angkuh, maka secara tidak langsung dia akan terhindar dari budaya fitnah yang langsung tidak bermoral.
8. Didik diri supaya sentiasa menerima pengkhabaran yang mempunyai bukti yang sahih dan sekali gus menolak segala khabar-khabar angin.
Dalam kesempatan ini, saya menyeru kepada semua marilah kita memelihara diri daripada perbuatan memfitnah sesama manusia. Ingatlah, sesungguhnya budaya fitnah ini merupakan penyebab utama kepada peperangan, perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam.
Sejarah juga membuktikan terdapat banyak empayar besar Islam runtuh akibat daripada fitnah. Antaranya pada zaman pemerintahan Ali r.a., pemerintahan Bani Umayyah, dan pemerintahan Uthmaniyyah. Selain itu, empayar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali runtuh akibat daripada persengketaan dan fitnah sesama sendiri. Oleh itu, beringatlah sebelum datangnya saat kematian kerana saat tersebutlah yang akan menentukan sama ada kita bahagia di akhirat atau sebaliknya. Benarlah pesanan Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan Muslim menyebarkan perkataan fitnah bagi memalukan orang lain,nescaya orang itu akan dimalukan Allah dalam neraka di akhirat kelak.” (Ibn Abi Dunya)
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd