SERAMAI 222 pelajar IPT dijangkiti HIV pada 2024. Foto Canva/Gambar kecil: DR AHMAD SHARIFUDDIN
STATISTIK pada 2024 menunjukkan 222 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV) pada usia 18 hingga 19 tahun amat membimbangkan kita semua.
Sejak 2020, sebanyak 1,091 kes direkodkan, menuntut tindakan menyeluruh dari sudut agama.
Pada dasarnya, jangkitan penyakit ini berpunca daripada pergaulan bebas yang kemudiannya berakhir dengan zina atau hubungan sejenis.
Gejala maksiat dan normalisasi tingkah laku tersebut berisiko membuka ruang kepada penularan penyakit ini pada usia yang sangat muda.
Ini jelas menunjukkan keruntuhan nilai moral dan kurangnya didikan rohani yang benar-benar berakar dalam diri pelajar.
ALLAH SWT mengingatkan dalam firman-NYA: “Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu merupakan satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32)

ELAKKAN pergaulan bebas antara lelaki dan wanita sebelum berlakunya normalisasi maksiat yang lebih besar. Foto Canva
Islam menuntut setiap Muslim memelihara maruah diri dan menjauhi segala bentuk maksiat.
Tanggungjawab ini bukan hanya ditaklifkan kepada individu, tetapi turut dipikul institusi keluarga, sekolah, universiti dan seluruh masyarakat.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi mencegah perkara ini adalah dengan memperkasakan pendidikan agama dalam keluarga dan institusi pengajian.
Di samping itu, program advokasi pencegahan HIV yang berteraskan nilai agama serta ilmu sains perlu diaktifkan.
Intervensi awal seperti saringan kesihatan dan rawatan bagi remaja juga boleh dibuat tanpa prejudis.
Islam menolak stigma dan diskriminasi terhadap pesakit HIV. Pesakit perlu disantuni dengan kasih sayang, bimbingan dan sokongan untuk kembali ke jalan yang benar.

DIDIKLAH generasi muda untuk mendalami ilmu agama agar akhlak dan peribadi mereka dipandu dengan ajaran yang benar. Foto Canva
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap anak Adam melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah mereka yang bertaubat.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, marilah kita menghentikan normalisasi maksiat atas apa jua nama dan kembali memperkukuhkan benteng akhlak serta meraih rahmat ALLAH SWT melalui taubat dan pencegahan.
Generasi muda harus dibimbing agar menjauhi maksiat serta masyarakat wajar berganding bahu dalam membina suasana yang bersih dan sejahtera daripada ancaman HIV dan juga keruntuhan akhlak.
***DR AHMAD SHARIFUDDIN MUSTAPHA merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)






