hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 603 penyertaan daripada 61 pertubuhan media diterima bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2025 (HKM 2025), sekali gus mencatat rekod tertinggi sejak penganjurannya bermula pada 1980.
Malaysia Press Institute (MPI) dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu menunjukkan peningkatan 53 penyertaan berbanding 550 entri tahun lalu, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan dalam kalangan pengamal media tempatan.
Pertandingan berprestij itu mempertandingkan karya kewartawanan yang diterbitkan sepanjang 2025 dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM450,000 yang ditaja penaja utama, PETRONAS.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail berkata, HKM menjadi penanda aras kecemerlangan kewartawanan negara kerana mengiktiraf karya media yang berkualiti, beretika dan memberi impak kepada masyarakat.
“Pengiktirafan ini meningkatkan kredibiliti serta reputasi profesional wartawan, di samping mendorong persaingan sihat dan peningkatan mutu pelaporan.
“Sokongan PETRONAS sebagai penaja utama memperkukuh kelangsungan serta prestij anugerah ini, manakala MPI terus komited menyelaras platform secara telus dan profesional,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, HKM bukan sekadar platform pengiktirafan, malah berperanan sebagai pemangkin inspirasi kepada wartawan untuk terus menghasilkan karya berimpak tinggi berteraskan inovasi, integriti dan etika kewartawanan.
“HKM terus menjadi mercu tanda kecemerlangan industri media negara, sekali gus menegaskan kepentingan penyampaian maklumat yang sahih, tepat dan berkualiti demi kepentingan awam,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kategori Berita Video Terbaik merekodkan penyertaan tertinggi dengan 61 karya, diikuti Dokumentari Video Terbaik sebanyak 55 karya berbanding hanya 36 tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, Kewartawanan Foto Terbaik menunjukkan penurunan ketara apabila hanya menerima 38 penyertaan berbanding 79 pada edisi lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






