Ariana dan Hoe Yean dinobat atlet terbaik Wilayah Persekutuan 2023/24 pada Khamis. Foto: Majlis Sukan Wilayah Persekutuan
JAGUH renang negara, Khiew Hoe Yean, terus mengukuhkan reputasinya sebagai perenang utama tanah air apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) 2023/24 pada Khamis.
Perenang kelahiran Kuala Lumpur itu menampilkan prestasi cemerlang sepanjang musim lalu termasuk memenangi beberapa pingat di peringkat antarabangsa sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan atlet elit kebangsaan.
Pemanah meningkat naik Ariana Nur Dania Mohamad Zairi pula diangkat sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan hasil kejayaan cemerlangnya membawa nama negara di pentas antarabangsa dalam sukan memanah.
Sementara itu, Olahragawan Harapan menjadi milik perenang muda berbakat besar, Muhammad Dhuha Zulfikry, manakala Olahragawati Harapan disandang rakan sepasukannya, Chong Xin Lin, juga dari sukan renang membuktikan dominasi kontinjen akuatik Wilayah Persekutuan dalam pembangunan bakat baharu.
Kategori para atlet, legenda badminton para negara Cheah Liek Hou terus membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan Olahragawan Para Terbaik, manakala Asyiil Raziin Razman dari sukan renang meraih gelaran Olahragawati Para Terbaik.
Bagi kategori berpasukan, Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan diumumkan Pasukan Lelaki Terbaik, manakala Pasukan Bola Jaring Wilayah Persekutuan menggondol anugerah Pasukan Wanita Terbaik hasil pencapaian konsisten mereka di kejohanan kebangsaan.
Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik pula menjadi milik Lim Yew Fai dari sukan wushu yang berjaya melahirkan ramai atlet bertaraf antarabangsa manakala See Min, juga daripada wushu, dipilih sebagai Jurulatih Wanita Terbaik atas sumbangan besar dalam membangunkan pasukan wanita Wilayah Persekutuan.
Turut menerima pengiktirafan, Syed Yazid Syed Omar dari bola sepak yang diumumkan sebagai Pegawai Sukan Terbaik atas komitmen dan dedikasi dalam pengurusan sukan di peringkat akar umbi dan elit.
Anugerah Badan Sukan Terbaik dimenangi oleh Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur (KULSC), pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan persatuan itu dalam melahirkan ramai perenang berpotensi tinggi.
Kemuncak malam penuh gemilang itu menyaksikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menerima Anugerah Tokoh Sukan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa beliau memperkasa landskap pembangunan sukan negara.
Ringkasan AI
- JAGUH renang negara, Khiew Hoe Yean, dinobatkan sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2023/24
- Ariana Nur Dania Mohamad Zairi menjadi Olahragawati Wilayah Persekutuan dalam sukan memanah
- Muhammad Dhuha Zulfikry dan Chong Xin Lin, keduanya perenang, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Wilayah Persekutuan
- Cheah Liek Hou dan Asyiil Raziin Razman masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Para Terbaik
- Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur meraih Anugerah Badan Sukan Terbaik