Holgado kini beraksi bersama kelab Colombia, América de Cali.
PENYERANG warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama ejennya bagi mencari penyelesaian terhadap isu penggantungan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Holgado, yang kini beraksi bersama kelab Colombia, América de Cali, antara tujuh pemain yang dikenakan penggantungan 12 bulan serta denda oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Menurut wartawan Argentina, Nany Lopes melalui perkongsian di laman sosial X, Holgado mahu menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh masa ditetapkan selepas hukuman dijatuhkan pada Jumaat lalu.
“Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama ejennya. Pemain América de Cali itu berlepas selepas tindakan sekatan FIFA ke atas skuad kebangsaan serta enam lagi pemain lain.
“Holgado berharap isu berkenaan dapat diselesaikan memandangkan terdapat tempoh 10 hari untuk membuat rayuan,” kata Lopes.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ketika ini, FAM sedang menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman sebelum mengemukakan rayuan.






