Hon Jian-Haikal kejutkan jagoan China

Hon Jian-Haikal kejutkan jagoan China


Hon Jian-Haikal mula langkah kanan di Terbuka Arctic 2025 Super 500 di Energia Areena, Vantaa, Finland. Foto BAM

BEREGU lelaki negara, Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri mempamerkan aksi luar jangka apabila menumbangkan beregu pilihan dari China, Huang Di–Liu Yang pada saingan Terbuka Arctic 2025 Super 500 di Energia Areena, Vantaa, Finland.

Pasangan ranking ke-39 dunia itu tampil bertenaga dan penuh keyakinan untuk menewaskan lawan ranking ke-16 dunia tersebut 23–21, 22–20 dalam pertarungan sengit selama 50 minit.

Kemenangan itu bukan sahaja melengkapkan kejutan pusingan pertama, malah menjadi kemenangan sulung Hon Jian–Haikal dalam rekod pertemuan menentang pasangan China tersebut.

Rentak kemenangan tersebut dijangka menjadi pembakar semangat buat gandingan muda negara itu yang akan menentang beregu Perancis, Eloi Adam–Leo Rossi, pada pusingan kedua selepas pasangan Eropah tersebut menyingkirkan beregu adik-beradik Scotland, Christopher dan Matthew Grimley.

Sementara itu, pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah, memulakan kempen dengan langkah meyakinkan apabila mudah menundukkan pasangan Denmark, Natasha P Anthonisen–Amalie Cecilie Kudsk, 21–13, 21–14.

Pearly–Thinaah, yang kini menduduki ranking kedua dunia, hanya memerlukan 32 minit untuk mengesahkan kemenangan sekali gus mengekalkan reputasi sebagai antara gandingan pilihan kejohanan.

Beregu wanita negara yang juga naib juara dunia 2024 itu bakal berdepan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspita Sari, pada aksi seterusnya.

Turut tidak ketinggalan mara ialah gandingan beregu utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, yang menepati ramalan apabila mengatasi beregu Denmark, Daniel Lundgaard–Mads Vestergaard, 21–18, 21–15 dalam masa 37 minit.

Kemenangan itu membolehkan juara dunia 2022 tersebut melangkah ke pusingan kedua selain memperkukuh rekod pertemuan kepada 2–0 ke atas pasangan Denmark berkenaan.

Aaron–Wooi Yik seterusnya akan membuat perhitungan sesama sendiri dengan rakan senegara, Low Hang Yee–Ng Eng Cheong.

Ringkasan AI

  • BEREGU lelaki negara, Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri menumbangkan beregu China pada Terbuka Arctic 2025
  • Pasangan Hon Jian–Haikal mencatat kemenangan pertama terhadap pasangan China itu
  • Pasukan wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah menang mudah lawan dari Denmark
  • Gandingan utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, mengalahkan pasangan Denmark
  • Aaron–Wooi Yik akan bertemu rakan senegara di pusingan kedua



Source link

OR

Scroll to Top