Hormati keputusan Cklamovski

Hormati keputusan Cklamovski


Keputusan Cklamovski memanggil Junior Eldstal (kanan) mendapat reaksi bercampur baur daripada peminat Harimau Malaya.

SEMUA pihak perlu menghormati keputusan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski selepas senarai nama 38 pemain diumumkan bagi menghadapi perlawanan antarabangsa kali ini.

Pemerhati bola sepak negara, Fauzi Pilus berkata, pertikaian sememangnya timbul dalam kalangan peminat terutama keputusan memanggil dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Junior Eldstal dan Nathaniel Hong Wan yang sudah lama tidak bermain.

Namun, Fauzi percaya pengendali kelahiran Australia itu mempunyai sebab tersendiri untuk meletakkan kedua-dua pemain tersebut dalam senarai 38 pemain Harimau Malaya.

“Kalau dilihat dengan statistik analisis dan minit permainan, memang Junior dan Hong Wan tidak sepatutnya dalam senarai itu.

“Saya mahu berfikir secara positif. Mungkin jurulatih ada alasan dan sebab tersendiri memilih dua nama berkenaan. Kita perlu hormati keputusannya, dan mungkin ia mengikut taktikal jurulatih.

“Ia kerana apa juga keputusan yang diraih adalah di bawah tanggungjawabnya (Cklamovski) nanti,” katanya.

Hong Wan sebelum ini tidak beraksi selepas dilaporkan mengalami kecederaan dan mula kembali berlatih beberapa minggu lalu manakala Eldstal pula sudah lama tidak bermain dan hanya memanaskan bangku simpanan.

Situasi itu mengundang rasa kurang puas hati dalam kalangan penyokong yang menyifatkan ramai pemain lain yang lebih layak dan mempunyai banyak minit permainan boleh disenaraikan oleh Cklamovski.

Malaysia dijadual berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasaepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei sebelum sekali lagi menentang lawan yang sama bagi perlawanan tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat di Johor Bahru, Johor dari Ahad hingga 26 Mei sebelum latihan diteruskan di Kuala Lumpur pada 27 Mei hingga ke hari perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top