PENGENDALI Newcastle United, Eddie Howe tetap yakin penyerang utama The Magpies, Alexander Isak akan terus kekal di kelab itu pada permulaan musim walaupun tidak diturunkan ketika aksi persahabatan pramusim menentang Celtic.
Ketiadaan Isak menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya, lebih-lebih lagi selepas pemain antarabangsa Sweden berusia 25 tahun itu menjadi perhatian beberapa kelab sepanjang jendela perpindahan ini.
Namun, Howe tenang dan positif dengan situasi semasa yang melanda St James’s Park berkenaan.
“Saya sukar memberi jaminan 100 peratus terhadap mana-mana pemain… Saya tidak akan duduk di sini dan membuat jaminan seperti itu kerana ini bola sepak, dan segala-galanya boleh berlaku.
“Tetapi Alex gembira di Newcastle. Dia selesa dengan rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan suasana kelab. Saya tidak pernah berdepan sebarang masalah dengannya.
“Saya yakin dia akan terus bersama kami apabila musim baharu bermula,” katanya selepas kekalahan 0-4 kepada juara Scotland di Celtic Park.
Dalam perlawanan tersebut, Newcastle turut juga kehilangan khidmat pemain tengah Brazil, Joelinton.
Tuan rumah membuka jaringan minit ke-28 apabila Arne Engels menyempurnakan sepakan penalti selepas Joe Willock mengasari pemain lawan dalam kotak penalti.
Beberapa minit sebelum rehat, penjaga gol Nick Pope melakukan kesilapan apabila gagal menanduk keluar bola hantaran jauh, sekali gus membolehkan Johnny Kenny menyumbat gol kedua Celtic.
Anthony Elanga yang baharu dibeli dari Nottingham Forest dengan nilai £55 juta (RM313 juta) dimasukkan pada babak kedua untuk membuat penampilan sulung, namun gagal mencipta impak buat Magpies.
Tujuh minit selepas permainan bersambung, pemain Korea Selatan, Yang Hyun-Jun meledak gol ketiga tuan rumah selepas menerima umpanan jarak dekat.
Walaupun Newcastle menguasai lebih banyak penguasaan bola pada separuh masa kedua, mereka terus dibolosi apabila Liam Scales menanduk masuk gol keempat pada minit ke-75.
Sementara itu, Magpies dijadualkan bertemu naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dalam aksi pramusim seterusnya di Singapura pada Ahad, 27 Julai.
Ditanya mengenai kemungkinan Isak menyertai skuad ke Asia, Howe berkata: “Ya, sudah tentu. Dia sebahagian daripada skuad kami dan setakat ini, saya jangkakan dia akan turut serta.”