Hubungan Malaysia-Russia bukan bersifat 'zero-sum game' – Anwar

Hubungan Malaysia-Russia bukan bersifat 'zero-sum game' – Anwar


am@hmetro.com.my

Kazan: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hubungan Malaysia-Russia yang semakin berkembang tidak seharusnya dilihat dalam konteks ‘zero-sum game’ – situasi membabitkan dua entiti yang bersaing, di mana hasilnya memberi kelebihan kepada satu pihak dan kerugian yang setara kepada pihak satu lagi.

Tegas Perdana Menteri, usaha mengukuhkan hubungan dengan sesebuah negara tidak bermakna Malaysia mengenepikan negara lain, termasuklah Amerika Syarikat (AS).

“Ia tidak harus dilihat sebagai satu ‘zero-sum game’. Hubungan ini sepatutnya saling melengkapi,” kata Anwar bercakap kepada media Malaysia sebelum menamatkan lawatan rasmi beliau selama empat hari ke Russia.

Anwar turut menegaskan Malaysia kekal komited untuk meluaskan kerjasama perdagangan secara meluas dan bebas, sebagai sebahagian daripada usaha melindungi dan mempromosikan kepentingan ekonomi negara.

“Malaysia adalah sebuah negara dagang. Untuk melindungi kepentingan kita, kita perlu meluaskan pasaran dan kerjasama perdagangan,” katanya.

Tambah beliau Malaysia tetap mengalu-alukan pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), sambil merujuk kepada perbincangan terkini antara agensi-agensi Malaysia dan rakan sejawat mereka dari AS.

“Malah, minggu lalu sahaja, syarikat AMD (Advanced Micro Devices Inc) berada di sini. Terdapat perbincangan serius untuk memperluas aktiviti mereka dan kita pastinya mengalu-alukan perkara itu,” katanya.

Ditanya sama ada hubungan semakin erat dengan Moscow akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara Barat, Anwar menjelaskan Malaysia akan terus memberi penerangan berhubung pendiriannya jika perlu, sambil mengekalkan hubungan terbuka dan konstruktif dengan semua rakan antarabangsa.

“Kita tidak pernah memberi gambaran bahawa apa yang kita lakukan ini dengan mengenepikan mana-mana negara,” tegas beliau.

Mengenai isu sekatan Barat terhadap Russia, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia hanya sekatan yang disokong institusi multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan diambil kira dalam dasar luar negara.

“Jika sekatan itu dikenakan oleh agensi multilateral seperti PBB, sudah tentu kita menghormatinya. Tetapi jika ia tindakan unilateral oleh mana-mana negara, adalah sukar untuk kita sebagai negara merdeka untuk mematuhinya begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut mengakui isu berkaitan pembayaran dibangkitkan oleh syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di Russia, namun menegaskan kedua-dua kerajaan terus mencari penyelesaian.

“Terdapat banyak bidang yang tidak tertakluk kepada sekatan, seperti sektor pendidikan sebagai contoh…. kita sedang bergerak maju dalam sektor-sektor seperti ini,” katanya.

Anwar menamatkan lawatan rasmi empat hari beliau ke Russia hari ini, yang merangkumi pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin, Perdana Menteri Mikhail Mishustin serta pelbagai pemimpin industri di Moscow dan Kazan.

Lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, penglibatan dalam industri halal, serta memperluas kerjasama Selatan–Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top