am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Hubungan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini masih baik dan tiada sebarang tanda berdepan dengan masalah.
Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, beliau turut mendapat dokongan daripada penyokong Pas termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipimpinnya, Air Lanas sekali gus melancarkan tugasnya.
“Hubungan Pas dan Bersatu di Kelantan tetap erat, tiada apa-apa perubahan, tetap berjalan macam biasa.
“Kerjasama kedua-dua parti juga masih berjalan baik dan saya pula mendapat dokongan penyokong Pas, jadi tiada sebarang tanda bahawa hubungan kami mengalami masalah,” katanya selepas pelancaran ‘midnight sales’ sempena Kempen MYES 2024 malam tadi.
Kamaruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri berkata, perbezaan pendapat dalam Perikatan Nasional (PN) sentiasa berlaku memandangkan tidak semuanya mempunyai pemikiran yang sama namun matlamat tetap tidak bercanggah.
Katanya, sebarang keputusan yang dibuat juga adalah mengikut suara majoriti, bukan bersifat individu.
“Memang biasa berlaku perbezaan pendapat dalam parti kerana tak semuanya satu fikiran contohnya strategi dan kaedah, namun dari segi matlamatnya tidak bercanggah malah keputusan juga dipegang oleh majoriti, bukan ikut individu,” katanya.
Mengenai tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang melepaskan jawatan Bendahari Agung PN, Kamaruddin tidak menganggap ia disebabkan masalah parti sebaliknya menyifatkan Menteri Besar Terengganu itu merasakan tidak mampu menggalas tanggungjawab.
Katanya, dengan banyak jawatan yang perlu digalas Ahmad Samsuri, menyebabkan bebanan tugas yang tidak mampu dipikul, tindakan melepaskan jawatan Bendahari Agung PN dilihat sangat bertanggungjawab.
“Jika tuan punya badan rasa tiada masa dan ruang untuk pikul tanggungjawab, baguslah dia letak, tak payah la teruskan supaya boleh cari (ganti) orang lain.
“Portfolio itu memang untuk Pas jadi kena berunding dengan Presiden Pas untuk letakkan calon (ganti),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd