Hubungan Petronas-Petros perlu diperjelas, elak aliran keluar pelaburan

Hubungan Petronas-Petros perlu diperjelas, elak aliran keluar pelaburan


PETALING JAYA: Sarawak dijangka berdepan corak aliran keluar pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih besar sekiranya tiada kejelasan peraturan yang lebih baik, menurut beberapa penganalisis.

Perunding kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman menjelaskan bahawa gabungan cabaran tempatan dan antarabangsa telah mendorong keputusan ConocoPhillips untuk menarik diri daripada projek Salam-Patawali baru-baru ini.

Katanya, pengunduran syarikat minyak gergasi Amerika Syarikat (AS) itu berlaku hanya beberapa bulan selepas syarikat minyak dan gas asing lain, PTTEP dari Thailand, menggantung projek gas Lang Lebah sehingga tahun 2026.

“Pemerhati industri merujuk kepada ketidaktentuan peraturan yang berterusan, berpunca daripada penyelesaian yang masih belum dimuktamadkan antara Petronas dan Petros, sebagai antara faktor utama penangguhan selama dua tahun tersebut, seperti dilaporkan oleh Scoop.

“Walaupun setiap projek mempunyai cabaran tersendiri, pembatalan berturutan ini menunjukkan satu corak yang berkemungkinan timbul disebabkan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan peraturan,” katanya. 

Samirul Ariff berkata, kejelasan peraturan dalam jangka panjang amat penting untuk menarik dan mengekalkan rakan pelabur asing dalam sektor huluan negara.

“Pertikaian seperti antara Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas mencetuskan ketidaktentuan, menjadikan keputusan pelaburan sukar dibuat secara berinformasi.

“Terma fiskal yang jelas dan stabil, serta penguatkuasaan konsisten terhadap kontrak perkongsian pengeluaran adalah penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur,” katanya. 

Pada  2025, perang perdagangan yang berterusan antara ASdan beberapa negara lain telah mencetuskan pelbagai risiko ekonomi lain, termasuk kebimbangan terhadap inflasi, kemelesetan ekonomi dan kejatuhan harga minyak.

“Turun naik harga tenaga global dan ketidaktentuan ekonomi boleh mempengaruhi keputusan pelaburan dalam projek minyak dan gas berskala besar. 

“Gabungan kos yang semakin meningkat, ketidaktentuan pasaran global dan pertikaian tempatan yang belum selesai mungkin mendorong pelabur lain untuk menilai semula komitmen mereka di rantau ini,” tambahnya.

Sementara itu, bekas Penganalisis Malaysia Petroleum Resources Corporation, Jamil Ghani, menekankan bahawa kejelasan peraturan adalah penting untuk menstabilkan persekitaran perniagaan di Malaysia.

“Ketidaktentuan peraturan terutamanya berkaitan peranan Petros sebagai pengumpul gas rasmi negeri berisiko meningkatkan kebimbangan pelabur.

“Walaupun Petronas telah mengesahkan bahawa perbincangan dengan Petros sedang berlangsung, kekaburan berkenaan susunan perantara atau ‘middleman’ menjejaskan keyakinan, terutamanya ketika negara memerlukan kesepaduan nasional,” katanya.

Beliau merujuk kepada pendirian kerajaan persekutuan yang mahu kontrak Petronas kekal tanpa penglibatan perantara.

Dalam persekitaran global yang mencabar, Jamil berkata, Malaysia tidak mampu dilihat sebagai berpecah-belah lebih-lebih lagi dalam sektor tenaga strategiknya.

“Jika Petronas ingin kekal sebagai tonggak kestabilan negara, dasar yang selari dan kesinambungan operasi perlu menjadi keutamaan. Ini bermakna Sarawak dan kerajaan persekutuan perlu segera menstabilkan pertikaian semasa demi ketahanan ekonomi seluruh negara,” katanya.

Menurut Upstream, projek Salam-Patawali bukanlah projek berskala besar, namun bersifat penting memandangkan hasrat Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas. 

Pembangunan bersendirian ini melibatkan kapal terapung dengan kapasiti pemprosesan melebihi 100 juta kaki padu gas dan mendapat sokongan kuat daripada Petronas.

Laporan Upstream Online menyatakan bahawa Petronas berhasrat meneruskan projek tersebut tetapi tidak dapat melakukannya secara bersendirian buat masa ini kerana kekangan kapasiti.

Dalam pada itu, Pegawai penyelidik di ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura, Pritish Bhattacharya berkata, usaha Sarawak untuk mendapatkan autonomi dalam sektor minyak dan gas telah mewujudkan risiko kepada monopoli Petronas, sekali gus memberi kesan yang lebih luas kepada ekonomi negara dan industri tempatan.

Menurutnya, kesan terhadap ekonomi Malaysia secara keseluruhan masih ‘sukar untuk diukur’.

“(Sebaliknya,) potensi kehilangan akses sumber oleh Petronas akan mewujudkan kesan rantaian kepada syarikat minyak antarabangsa yang sebelum ini hanya berurusan secara langsung dengan Petronas,” katanya.

“Ini akan menjadi isu terutamanya dalam aspek pelaburan asing, memandangkan pelabur-pelabur ini terbiasa berurusan secara langsung dengan Petronas, dan situasi mungkin menjadi lebih rumit jika kini mereka perlu berurusan dengan Petros pula.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top