Kuala Lumpur: Malaysia kekal sebagai rakan lama yang dipercayai dan dihargai Rusia, dengan hubungan dua hala menunjukkan peningkatan momentum, kata Duta Rusia ke Malaysia Naiyl M Latypov.
Berucap pada majlis resepsi menyambut Hari Kebangsaan Rusia di Kuala Lumpur pada Rabu, Latypov berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Vladimir Putin telah mengadakan perbincangan menyeluruh dan konstruktif semasa lawatan Anwar ke Rusia baru-baru ini.
“Peningkatan dialog di peringkat tertinggi ini jelas mencerminkan trend positif hubungan dua hala kita. Kerjasama merangkumi pelbagai bidang – daripada perdagangan, pelaburan, tenaga, hingga pelancongan, pendidikan serta pertukaran budaya dan kemanusiaan.
“Saya berharap momentum ini akan terus bergerak ke hadapan, membawa lebih banyak manfaat untuk kedua-dua negara,” katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili kerajaan pada majlis berkenaan.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Latypov, kerjasama Rusia-Malaysia berteraskan sikap saling menghormati dan bagi mencapai manfaat bersama dengan kedua-dua negara sentiasa berusaha memahami perspektif masing-masing sebagai rakan sejati.
“Perbincangan pemimpin kita mengenai isu serantau dan antarabangsa menunjukkan pendirian Rusia dan Malaysia selari.
Kedua-dua negara teguh mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa, kedaulatan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman. Kita juga bekerjasama secara efektif di pelbagai platform multilateral termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
Dengan Malaysia selaku Pengerusi Asean tahun ini, Latypov menegaskan Rusia amat menghargai dialog dengan pertubuhan serantau itu.
“Kepaksian Asean berasaskan keterangkumani, ketelusan dan kesamaan dengan menghormati identiti dan kepentingan semua ahli,” katanya.
Mengenai BRICS, duta itu berkata, Rusia komited menyokong penyertaan Malaysia yang lancar dan berkesan dalam semua format perkongsian BRICS.
Mengenai sambutan Hari Kebangsaan Rusia tahun ini, beliau menyatakan ia mempunyai makna khusus memandangkan negara itu menyambut ulang tahun ke-80 pengakhiran Perang Patriotik Besar dan Perang Dunia Kedua.
Hubungan diplomatik Rusia-Malaysia terjalin pada 1967, menjadikan usianya hampir enam dekad tahun ini.
Semasa lawatan rasmi empat hari Anwar ke Rusia bulan lalu, Putin berkata, hubungan dua hala berkembang dengan jayanya dan progresif, dengan kedua-dua pihak menunjukkan minat kuat untuk menjadikan kerjasama lebih substantif dan telus.
© New Straits Times Press (M) Bhd