Hukum dan kelebihan puasa Syawal

Hukum dan kelebihan puasa Syawal


Foto hiasan.

– Advertisement –

BERMULA setengah daripada puasa-puasa sunat itu ialah puasa Syawal iaitu berpuasa oleh seorang akan enam hari di dalam bulan Syawal dan puasa ini juga dikenali dengan sebutan puasa enam.

– Advertisement –

Jumhur fuqahak berjalan kepada bahawasanya hukum puasa Syawal ini adalah sunat.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah:

ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ وَالْحَنَابِلَةُ وَمُتَأَخِّرُو الْحَنَفِيَّةِ إِلَى أَنَّهُ يُسَنُّ صَوْمُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ بَعْدَ صَوْمِ رَمَضَانَ

Ertinya: “Telah berjalan oleh jumhur fuqahak mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali dan ulamak mutaakhirin mazhab Hanafi kepada bahawasanya disunatkan puasa enam hari daripada bulan Syawal selepas berpuasa Ramadan.”

Berkata Imam Nawawi:

يُسْتَحَبُّ لِمَنْ صَامَ رَمَضَانَ أَنْ يُتْبِعَهُ بِسِتَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ

Ertinya: “Disunatkan bagi siapa yang telah berpuasa Ramadan dia ikutkan pula dengan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata oleh Syeikh Abu Bakr Ad-Dimyathi:

أي ويسن متأكدا صوم ستة أيام من شهر شوال

Ertinya: “Disunatkan sebagai sunat muakkad puasa enam hari daripada bulan Syawal.” (Kitab I’anah At-Talibin)

Telah diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Ansori r.a.:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Ertinya: “Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda: Barangsiapa berpuasa akan puasa Ramadan kemudian dia puasakan pula akan enam hari daripada bulan Syawal nescaya adalah pahalanya seperti puasa selamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dan diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah r.a. beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَسِتًّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ السَّنَةَ كُلَّهَا

Ertinya: “Aku telah mendengar akan Rasulullah solallahu alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa berpuasa akan enam hari daripada Syawal maka seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jika seorang itu tidak berpuasa Ramadan lalu dia melakukan puasa Syawal nescaya dia tidak mendapat kelebihan sepertimana yang tersebut pada hadis kerana disebut pada hadith orang yang berpuasa Ramadan kemudian Syawal.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami:

أما من لم يصم رمضان ولو تعذر فهو ولو سن له صومها على الأوجه لكن لا يحصل له الثواب المذكور لترتبه في الخبر على صيام رمضان

Ertinya: “Adapun barangsiapa yang tidak berpuasa Ramadan walaupun dengan sebab uzur maka walau pun dia disunatkan juga baginya berpuasa Syawal menurut pendapat yang lebih kuat wajah namun tiada hasil baginya ganjaran yang tersebut kerana sabit pada hadith ialah urutannya atas puasa Ramadhan.” (Kitab Minhaj Al-Qawwim)

Berkata Syeikh Sulaiman Al-Jamal:

ظَاهِرُ الْخَبَرِ أَنَّ الثَّوَابَ الْمَذْكُورَ خَاصٌّ بِمَنْ صَامَ رَمَضَانَ

Ertinya: “Bermula yang zahir daripada hadis ini bahawasanya ganjaran yang tersebut khusus bagi mereka yang puasa akan Ramadan.” (Kitab Hasyiah Al-Jamal)

Maksudnya semua orang disunatkan berpuasa enam hari daripada Syawal akan tetapi hanya mereka yang berpuasa akan Ramadan sahaja mendapat kelebihan seperti berpuasa selama setahun manakala yang tidak berpuasa Ramadan hanya mendapat pahala berpuasa sunat sahaja.

Cara puasa Syawal

Bermula niat puasa sunat Syawal itu ialah dihadirkan dalam hati oleh orang yang hendak berpuasa:

“Aku berniat puasa sunat Syawal esok hari kerana Allah Taala.”

Apabila dipuasakan oleh seorang akan enam hari daripada bulan Syawal dengan niat puasa Syawal maka sah ia sama ada dipuasakan berturut-turut atau berselang hari dan sama ada dipuasakan pada awal bulan Syawal atau pertengahannya atau penghujungnya.

Dan yang paling afdal ialah dipuasakan selama enam hari berturut-turut tanpa berselang.

Berkata Imam Nawawi:

وستة من شوال وتتابعها أفضل

Ertinya: “Dan sunat puasa enam hari daripada bulan Syawal dan berturutan enam hari itu afdal.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berturut-turut yang paling afdhal ialah dimulakan selepas hari raya kerana segera kepada beribadah.

Berkata Syeikh Abdullah Bafadhal:

وَيسن تواليها واتصالها بالعيد

Ertinya: Disunatkan puasa Syawal itu berturut-turut dengan bersambung ia dengan hari raya.” (Kitab Al-Muqadiimah Al-Hadhramiyah)

Dan berkata Imam Nawawi pada kitab Raudhah At-Talibin:

وَمِنْهُ سِتَّةُ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ، وَالْأَفْضَلُ أَنْ يَصُومَهَا مُتَتَابِعَةً مُتَّصِلَةً بِالْعِيدِ

Ertinya: “Dan setengah dari puasa sunat itu ialah puasa enam hari bulan Syawal. Dan yang afdalnya ialah seorang itu mempuasakannya berturut-turut bersambung dengan hari raya.”

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori:

(وَاتِّصَالُهَا) بِيَوْمِ الْعِيدِ (أَفْضَلُ) مُبَادَرَةً لِلْعِبَادَةِ

Ertinya: “(Dan bersambungnya yakni puasa Syawal itu) dengan hari raya (lebih afdal) kerana bersegera bagi ibadah.” (Kitab Manhaj Al-Thullab)

Maksudnya yang afdal ialah dimulakan puasa Syawal itu pada 2 haribulan Syawal selepas hari raya dengan berturut-turut.

Akan tetapi harus jika dipuasakan akan puasa sunat Syawal itu secara terpisah yaitu tidak berturut-turut dan bukan dimulakan pada 2 Syawal.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin:

والأفضل تتابعها عقب عيد الفطر مباشرة، ولكن لا يشترط، بل تحصل السنة بصيامها متفرقات

Ertinya: “Dan yang afdalnya ialah berpuasa berturut-turut mula selepas hari raya akan tetapi ia tidaklah disyaratkan bahkan berhasil sunat puasa Syawal dengan mempuasakannya secara terpisah.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Puasa Syawal sekalikan dengan puasa qadha

Harus hukumnya berniat qada puasa yang wajib dan puasa sunat seperti puasa Syawal sekali gus bagi hari yang sama maka lepas daripadanya hutang puasa yang wajib dan dapat baginya ganjaran puasa sunat Syawal.

Berkata Imam As-Suyuthi:

ولو صام في يوم عرفة مثلًا قضاء أو نذرًا أو كفارة ونوى معه الصوم عن عرفة، فأفتى البارزي بالصحة والحصول عنهما.

Ertinya: “Dan jika seorang puasa qada atau nazar atau kafarah pada hari Arafah dan dia niatkan sama puasa sunat Arafah maka telah menfatwakan oleh Imam Al-Barizi dengan sahnya dan hasil dari kedua puasa tersebut.” (Kitab Al-Asbah Wa An-Nazhair)

Dan yang afdal ialah dipuasakan secara berasingan yaitu puasa qadha pada hari yang lain dari puasa Syawal.

Jika dia mahu buat berasingan maka afdal didulukan puasa qadha tetapi harus jika didulukan puasa sunat Syawal.

Berkata Syeikh Dr Ali Jum’ah:

نعم يجوز للمسلم أن ينوي نية صوم النافلة مع نية صوم الفرض، فيقضي ما فاته من رمضان في شهر شوال ويكتفي بكل يوم يقضيه عن صيام يوم من الست من شوال، ويحصل بذلك على الأجرين، والأكمل والأفضل أن يصوم كلًّا منهما على حدة. دار الإفتاء المصرية

Ertinya: “Ya harus bagi seorang Muslim berniat puasa sunat serta niat puasa fardu. Maka dia telah menunaikan puasa yang telah luput dari Ramadhan pada bulan Syawal dan memadai dengan setiap hari yang dia tunaikan itu dari puasa satu hari dari enam hari bulan Syawal dan hasil dengan yang demikian itu olih kedua-dua ganjaran. Dan lebih sempurna dan lebih afdhal ialah dia mempuasakan setiap dari keduanya secara berasingan.” (Majlis Fatwa Negeri Mesir)

Hukum puasa sunat sebelum qada puasa wajib

Berkenaan hukum melakukan puasa sunat seperti puasa Syawal bagi orang yang belum melakukan puasa qada yang wajib ada berlaku perselisihan dalam kalangan imam-imam mazhab.

Ulamak mazhab Hanafi mengatakan hukumnya adalah harus tanpa makruh dan ulamak mazhab Maliki dan Syafie mengatakan sebagai makruh manakala ulamak mazhab Hanbali berkata dengan haram lagi tidak sah.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah:

اخْتَلَفَ الْفُقَهَاءُ فِي حُكْمِ التَّطَوُّعِ بِالصَّوْمِ قَبْل قَضَاءِ رَمَضَانَ.فَذَهَبَ الْحَنَفِيَّةُ إِلَى جَوَازِ التَّطَوُّعِ بِالصَّوْمِ قَبْل قَضَاءِ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ كَرَاهَةٍ، لِكَوْنِ الْقَضَاءِ لاَ يَجِبُ عَلَى الْفَوْرِ، قَال ابْنُ عَابِدِينَ: وَلَوْ كَانَ الْوُجُوبُ عَلَى الْفَوْرِ لَكُرِهَ؛ لأِنَّهُ يَكُونُ تَأْخِيرًا لِلْوَاجِبِ عَنْ وَقْتِهِ الضَّيِّقِ.وَذَهَبَ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ إِلَى الْجَوَازِ مَعَ الْكَرَاهَةِ، لِمَا يَلْزَمُ مِنْ تَأْخِيرِ الْوَاجِبِ، قَال الدُّسُوقِيُّ: يُكْرَهُ التَّطَوُّعُ بِالصَّوْمِ لِمَنْ عَلَيْهِ صَوْمٌ وَاجِبٌ، كَالْمَنْذُورِ وَالْقَضَاءِ وَالْكَفَّارَةِ. سَوَاءٌ كَانَ صَوْمُ التَّطَوُّعِ الَّذِي قَدَّمَهُ عَلَى الصَّوْمِ الْوَاجِبِ غَيْرَ مُؤَكَّدٍ، أَوْ كَانَ مُؤَكَّدًا، كَعَاشُورَاءَ وَتَاسِعِ ذِي الْحِجَّةِ عَلَى الرَّاجِحِ.وَذَهَبَ الْحَنَابِلَةُ إِلَى حُرْمَةِ التَّطَوُّعِ بِالصَّوْمِ قَبْل قَضَاءِ رَمَضَانَ، وَعَدَمِ صِحَّةِ التَّطَوُّعِ حِينَئِذٍ وَلَوِ اتَّسَعَ الْوَقْتُ لِلْقَضَاءِ، وَلاَ بُدَّ مِنْ أَنْ يَبْدَأَ بِالْفَرْضِ حَتَّى يُقْضِيَهُ

Ertinya: “Telah besalahan olih para fuqahak pada hukum puasa sunat sebelum qada puasa Ramadan. Ulamak mazhab Hanafi berpendapat kepada harus puasa sunat sebelum qada Ramadan dengan tiada makruh kerana keadaan puasa qada itu tidak wajib dengan disegerakan. Telah berkata Imam Ibnu Abidin: Dan kalau adalah wajib itu atas segera nescaya dimakruhkan dari kerana sungguhnya adalah melambatkan bagi yang wajib itu dari waktunya yang sempit. Ulamak mazhab Maliki dan Syafie berpendapat kepada harus serta makruh kerana melazimkan melambatkan yang wajib. Berkata Ad-Dusuqi: Dimakruhkan puasa sunat bagi mereka yang ada puasa wajib atasnya seperti puasa nazar dan qada dan kafarah sama ada puasa sunat yang hendak dia kerjakan dulu itu sunat yang tidak muakkad atau yang muakkad seperti puasa ‘Asyura dan Tasu’a bulan Zulhijjah atas pendapat yang kuat. Dan ulamak mazhab Hanbali berpendapat haram puasa sunat sebelum qada Ramadan dan ketiadaan sah puasa sunat pada ketika itu sekalipun luas waktunya bagi qada. Dan tidak dapat tidak bahawa hendaklah memulai seorang itu dengan yang fardu sehingga dia tunaikannya.”

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 4/4/2025

Tulisan ini diambil daripada Facebook Ustaz Azhar Idrus.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top