Soalan:
Adakah harus menggantung ayat-ayat atau surah-surah tertentu dari Al-Quran pada dinding rumah?
Jawapan:
Meletakkan ayat-ayat atau surah-surah dari Al-Quran pada dinding rumah seperti yang dapat dilihat ia dilakukan oleh masyarakat Islam sekarang ada perselisihan ulamak padanya.
Setengah ulamak mengharuskannya dengan syarat memeliharanya dan memuliakannya manakala setengah ulamak memakruhkannya.
Tersebut pada Kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah:
ولو كتب القرآن على الحيطان والجدران بعضهم قالوا: يرجى أن يجوز، وبعضهم كرهوا ذلك مخافة السقوط تحت أقدام الناس”
Ertinya: “Dan jikalau ditulis akan Al-Quran di atas dinding dan tembok, maka berkata setengah ulamak: Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus manakala setengah mereka itu memakruhkan yang demikian itu kerana khuatir jatuh ia pada kaki-kaki manusia.” (jilid 5 m.s. 323)
Dan berkata Mufti Jordan:
تجوز كتابة الآيات القرآنية على الجدران أو نقشها عليها أو تعليقها على شكل مناظر، ولكن الواجب أن تُعظَّم وتُحترم، وتُصان عن العبث أو الامتهان، وعدم رميها مع القمامة بعد تلفها، لقوله عز وجل: (ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ) الحج/32.
Ertinya: “Harus menulis ayat-ayat Quran atas dinding atau memahat ayat Quran di atasnya atau gantungnya sebagai tatapan awam akan tetapi yang wajib bahawa memuliakannya dan menghormatinya. Dan juga wajib dipelihara dari disia-siakannya atau direndah-rendahkannya. Dan tidak harus melemparnya bersama sampah selepas ia rosak kerana firman Allah Taala: Bermula yang demikian itu dan orang yang membesarkan akan sekelian syiar Allah maka sungguhnya ia termasuk tanda hati yang taqwa.” (Al-Haj: 32) Majlis Fatwa Jordan
Kesimpulannya tidak mengapa dijadikan ayat Quran sebagai hiasan pada dinding rumah dengan syarat hendaklah diletakkan tinggi jauh dari kaki manusia dan wajib pula memeliharanya dari kotoran atau seumpamanya kerana menghormatinya. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 29/10/2024